Khamis, 12 Oktober 2017 | 9:03pm
KETUA Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Mohd Azhar Yahaya (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman diantara Ketua Pegawai Eksekutif Glycoprox Biosciences Corp, Aldo Carrascoso (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Technology Park Malaysia, Datuk Ir Mohd Azman Shahidin (kanan) di tapak pameran National Innovation & Creative Economy Expo 2017 di Taman Teknologi Malaysia. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Firma AS pilih M'sia pangkalan makmal kajian barah

KUALA LUMPUR: Firma Amerika Syarikat (AS), Glycoprox Biosciences Corporation (GPX) memilih Malaysia sebagai pangkalan makmal pertama di Asia dalam kajian pembangunan ubatan barah membabitkan pelaburan AS$18 juta (RM76 juta).

Pangkalan penyelidikan GPX yang terletak di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil adalah hasil kerjasama firma yang berpangkalan di San Francisco itu bersama Technology Park Malaysia Biotech Sdn Bhd (TPMB).

Ketua Pegawai Eksekutif GPX, Aldo Carrascoso, berkata industri pembangunan perubatan barah ketika ini adalah sangat terhad dan kebanyakannya memberi tumpuan kepada penggunaan sistem dan metodologi berasaskan asid deoksiribonukleik (DNA) dan asid ribonucleic (RNA).

Justeru, katanya GPX dan TPMB akan menjadi syarikat pertama mengkomersialkan penyelidikan glycomics untuk penemuan sasaran dan pengesahan, selain yang pertama menggunakan instrumentasi lanjutan.

"Kami teruja untuk meneroka peluang yang diberikan oleh Malaysia dalam bioteknologi dan sains hayat. Pemilihan Malaysia sebagai tapak pertama kajian adalah kerana atas faktor ekosistem yang menarik, tenaga kerja mahir tempatan yang mencukupi selain sokongan kuat kerajaan dan industri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara GPX dan TPMB di sini, hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM), Datuk Ir Mohd Azman Shahidin berkata, kerjasama antara TPMB dan GPX adalah langkah utama syarikat untuk meneroka peluang perniagaan baharu.

Katanya, GPX bakal menjalankan kajian secara bersama di makmal molekular TPM Biotech yang dilengkapi kemudahan terkini.

"Kerjasama ini membuktikan syarikat antarabangsa yakin dengan kemampuan dan perkhidmatan terkini yang tersedia untuk meneruskan program penyelidikan dan pembangunan mereka di Malaysia dan Asia.

"Penyelidikan bersama ini akan berjalan dalam 12 hingga 18 bulan dan hasil penyelidikan ini akan dijadikan bahan rujukan untuk perubatan berkaitan barah," katanya.

Mohd Azman berkata, antara faktor lain pemilihan TPM sebagai rakan kerjasama pangkalan penyelidikan baharu GPX adalah kerana Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum dan genetik yang berbeza.

Beliau berkata, selama ini penyelidikan GPX hanya di sekitar Eropah dan AS, namun dengan kerjasama ini pihaknya mengharapkan dapat menemui hasil penyelidikan baharu dalam sel barah di rantau Asia.

Katanya, GPX menggabungkan glycomics generasi akan datang, instrumen yang mantap dan boleh diperbaharui (LC/MS) dan pembelajaran mesin yang mendalam untuk menambah baik diagnosis kaser, biomarker dan penemuan sasaran pembangunan terapeutik.

97 dibaca
Berita Harian X