Selasa, 7 November 2017 | 9:36pm

Nestle catat pertumbuhan kukuh

KUALA LUMPUR: Nestle (Malaysia) Bhd mencatatkan pertumbuhan pendapatan kukuh, walaupun berdepan cabaran harga bahan mentah yang tinggi dan ringgit yang lemah.

Rekod itu keputusan mantap bagi sembilan bulan pertama tahun kewangannya yang berakhir 30 September 2017.

Nestle mencatatkan pendapatan RM4.0 bilion, iaitu 4.3 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Kadar pertumbuhan itu disokong oleh prestasi eksport dan domestik yang lebih memberangsangkan, masing-masing berkembang sebanyak 5.5 peratus dan empat peratus walaupun berdepan sentimen pengguna lemah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alois Hofbauer, berkata pihaknya sudah meramalkan cabaran luar yang berterusan pada tahun ini, namun berjaya mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan untuk jualan sembilan bulan pertama serta suku ketiga.

Beliau berkata, kumpulan mencatatkan untung sebelum cukai sebanyak RM648 juta dan untung selepas cukai sebanyak RM512 juta.

Katanya, cabaran luar menyebabkan untung sebelum cukai Nestle berkurang daripada RM685 juta dalam sembilan bulan pertama 2016 kepada RM648 juta dalam sembilan bulan pertama tahun 2017.

"Tindakan proaktif sudah diambil untuk melindungi kenaikan kos melalui peningkatan tahap kecekapan bahagian dalaman kumpulan, pengurusan kos yang berhemat dan pelaburan pemasaran strategiknya secara berperingkat-peringkat.

"Malah sejajar dengan komitmen kumpulan untuk menambah nilai bagi pemegang saham, Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim kedua RM0.70 sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

"Kumpulan juga mencatatkan perolehan RM1.32 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2017, peningkatan 4.8 peratus berbanding RM1.26 bilion pada suku yang sama tahun lalu.

"Momentum pertumbuhan kukuh ini disokong oleh jualan domestik yang meningkat sebanyak 4.2 peratus dan jualan eksport yang bertambah sebanyak 6.8 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Hofbauer berkata, pihaknya juga sudah meramalkan kesan daripada pasaran yang mencabar pada tahun ini terhadap perniagaan dan meletakkan rancangan yang jelas untuk mengatasinya.

Beliau berkata, kumpulan berupaya mengekalkan keuntungan yang kukuh serta pertumbuhan dipacu terutamanya oleh perniagaan domestik dan eksport serta peningkatan pelaburan dalam promosi pemasaran dan perdagangan berkesan.

"Seperti di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini, jenama kami menyaksikan sokongan kukuh. Sokongan pemasaran dan perdagangan kukuh menjana permintaan dan seterusnya membantu mengukuhkan kedudukan kumpulan menguasi pasaran bagi banyak kategori produk.

"Inovasi kekal menjadi pemacu pertumbuhan penting dan tunggak bagi kumpulan serta pelancaran produk baharu termasuk minuman MILO Nutri-Up Sedia Diminum, MAT KOOL Fruity Bug, MAGGI Hot Mealz, minuman Sedia Diminum NESTUM, NESCAFÉ Latte Hazelnut dan pelancaran semula NESCAFÉ Blend & Brew.

"Inovasi produk itu terus menyumbang kepada perolehan tahunan," katanya.

Sementara itu Hofbauer berkata, prestasi eksport Nestle yang kukuh turut dicapai kerana pertumbuhan mantap daripada syarikat-syarikat bersekutu Nestle di luar negara, khususnya di rantau ASEAN.

67 dibaca
Berita Harian X