Selasa, 14 November 2017 | 4:18pm
PENGARAH Eksekutif Tadmax, Datuk Noel John pada sidang media, di Kelana Jaya. - Foto Rohanis Shukri

Buka bidaan tender RM2 bilion

PETALING JAYA: Tadmax Resources Berhad (Tadmax) membuka tender untuk bidaan projek pembangunan loji jana kuasa baharu berasaskan gas.

Tender bernilai kira-kira RM2 bilion itu bagi projek dijadual bermula pada Januari 2023.

 

Pengarah Eksekutif Tadmax, Datuk Noel John, berkata setakat ini, pihaknya menerima sejumlah permohonan daripada pelbagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) untuk mengambil bahagian dalam projek terbabit dengan lapan daripadanya disenarai pendek.

 

Katanya, kontraktor EPC perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk layak membida tender berkenaan.

 

"Kita sudah menghantar permohonan daripada kontraktor EPC kepada ST dan seterusnya mendapat kelulusan untuk menawarkan tender berkenaan kepada mereka yang disenarai pendek.

 

"Mereka dijangka untuk mengemuka bidaan selewatnya akhir Januari depan, sebelum ia akan diteliti oleh pihak ketiga," katanya pada sidang media, di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, penilaian itu dijangka siap pada akhir bulan Februari sebelum ia diserahkan kepada ST.

 

"Sementara proses itu berjalan, kita akan berunding dengan PETRONAS berhubung saluran paip gas di bawah perjanjian bekalan gas.

 

"Kita turut berunding bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam kerja penghantaran kerana kita juga perlu berunding dengan pengeluar tunggal bagi pembekalan tenaga. Ini tiga perjanjian utama dan kita sudah menjalankan lebih 50 peratus daripada proses perundingan terbabit," katanya

 

Dalam pada itu, Noel berkata Tadmax memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) dengan Korea Electric Power Corporation (Kepco) berhubung pembangunan loji jana kuasa kitaran gas berkuasa antara 1,000 hingga 1,200 megawatt (mw) di Pulau Indah, Selangor.

 

Katanya, melalui perjanjian itu, Tadmax, melalui syarikat projeknya, Tadmax Indah Power Sdn Bhd (TIP), akan kekal sebagai anggota peneraju dalam konsortium dan menjadi penghubung utama semua pihak yang berkaitan.

 

"Kepco, syarikat utiliti kuasa terbesar Korea Selatan, akan membantu dari segi hal kewangan dengan membangunkan secara struktur pembiayaan secara bersama, penelitian terhadap dokumen pembiayaan serta menyediakan kejuruteraan kewangan dan peningkatan kredit.

 

"Selain itu, Kepco juga akan memberikan bantuan teknikal dan perundingan bagi mencapai kejayaan projek berkenaan," katanya yang turut menyatakan hasrat Kepco untuk memperoleh kepentingan sebanyak 25 peratus ekuiti dalam TIP selepas perjanjian itu dilaksanakan.

567 dibaca
Berita Harian X