Selasa, 14 November 2017 | 5:50pm
NAIB Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasinya, Nizam Sani (kiri) ketika memperkenalkan kad keahlian Kelab Nuri Bank Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Bank Rakyat sasar 1.2j ahli Kelab Nuri

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menyasarkan jumlah keahlian Kelab Nuri Bank Rakyat mencecah 1.2 juta menjelang akhir tahun depan.

Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasinya, Nizam Sani berkata, peningkatan daripada kira-kira 700,000 ahli ketika ini dipacu penampilan imej baharu serta pelbagai tawaran pakej eksklusif untuk ahlinya.

Katanya, Kelab Nuri Bank Rakyat yang tampil dengan pelbagai pembaharuan bagi meningkatkan lagi kemudahan serta keistimewaan turut menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik dalam pelbagai industri.

"Kami menjalinkan kerjasama dengan industri yang terbabit dalam pendidikan dan pelancongan bagi membolehkan ahli menikmati pelbagai diskaun eksklusif.

"Bersesuaian dengan imej serta karektor baharu Nuri yang lebih bergaya, aktif dan ceria, Kelab Nuri Bank Rakyat menyediakan pelbagai aktiviti serta program bagi memenuhi keperluan dan gaya hidup kanak-kanak dan remaja masa kini," katanya kepada media Kelab Nuri Bank Rakyat di sini, hari ini.

Kelab yang berkonsepkan pendidikan dan gaya hidup ini juga melanjutkan tempoh keahlian sehingga ahli yang berumur 18 tahun berbanding 12 tahun bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan serta keistimewaan bagi tempoh lebih lama.

Yuran keahlian Kelab Nuri Bank Rakyat adalah RM50 pada tahun pertama dan RM10 bagi tahun berikutnya di mana ahli mendapat pelbagai manfaat.

Antara manfaat adalah pemberian wang tunai, perlindungan takaful sehingga RM2,000, diskaun eksklusif daripada rakan dagang terpilih dan keutamaan menyertai program anjuran Kelab Nuri.

Bagi calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ahli akan mendapat tuisyen percuma, bengkel peperiksaan dan pengiktirafan kecemerlangan.

Pendaftaran ahli Kelab Nuri Bank Rakyat baharu mulai esok.

"Kelab Nuri Bank Rakyat amat mementingkan pendidikan di mana ahli dapat menyertai tuisyen rakyat mega di beberapa lokasi setiap bulan bagi pelajar peperiksaan utama.

"Kami akan menganjurkan siri jelajah dan karnival mini di tiga lokasi iaitu Kedah, Johor dan Kuala Lumpur bermula bulan ini," jelas Nizam.

Info:

Kelab Nuri Bank Rakyat

* Yuran RM50 tahun pertama, RM10 tahun berikutnya

191 dibaca
Berita Harian X