Khamis, 7 Disember 2017 | 11:38pm

Anak syarikat ML Global dapat kontrak RM78j

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh ML Global Bhd, MITC Engineering Sdn Bhd (MITCE), menerima surat lantikan daripada LCB Management Sdn Bhd (LCB) sebagai kontraktor kerja bagi cadangan pembangunan blok pangsapuri 24 tingkat bernilai RM78.05 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya, pembangunan itu terdiri daripada 359 unit pangsapuri dengan satu tingkat kemudahan podium, empat tingkat tempat letak kenderaan podium dan satu tingkat tempat letak kenderaan separa bawah tanah di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

LCB, kontraktor pengurusan dilantik sudah diarahkan oleh pemaju, Wonderful Insights Sdn Bhd, untuk memberikan kerja-kerja pembinaan dan menyiapkan kerja-kerja itu kepada MITCE, katanya.

"Pembinaan dan menyiapkan kontrak itu akan mengambil masa 24 bulan dan dijadualkan bermula pada Disember 2017 dan dijangka siap pada Disember 2019," katanya.

ML Global berkata kontrak itu akan meningkatkan nilai perolehan kontrak sedia ada syarikat dan kumpulan syarikatnya.

"Dengan kontrak tersebut, nilai perolehan kontrak terkumpul semasa kumpulan kira-kira RM2.38 bilion.

"Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat dan kumpulan sepanjang tempoh kontrak itu," katanya.

- BERNAMA

118 dibaca
Berita Harian X