Rabu, 10 Januari 2018 | 7:15pm
KETUA Pegawai Eksekutif Asian Comfort Investment Co.Ltd, Sokbundith (tiga dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Eksekutif DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd, (DEMAK Motorbike ProVuces), Hu Ying (dua dari kanan) sempena Majlis Menandatangani Perjanjian antara Asian Comfort Co. Ltd dengan DNC Asiatic Sdn Bhd untuk mempromosikan jenama motosikal Demak di Kemboja di Menara MATRADE, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Demak tembus pasaran Kemboja

KUALA LUMPUR: DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd (DNC), pengeluar dan pemasang motosikal jenama Demak memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Asian Comfort Co Ltd untuk membawa masuk jenama itu ke pasaran Kemboja.

Pengarah Eksekutif, Hu Ying, berkata menerusi MoU itu, sebanyak 25,000 unit bernilai RM225 juta akan dieksport ke negara berkenaan bermula suku kedua 2018.

"Langkah ini selari dengan perancangan DNC Asiatic untuk meluaskan penjualan motosikal jenama Demak di rantau ASEAN.

"Asian Comfort Co Ltd akan menjadi pengedar rasmi jenama Demak dan bertanggungjawab untuk mempromosi jenama ini di seluruh Kemboja," katanya majlis memeterai MoU bersama Asian Comfort Co Ltd, di sini, hari ini.

Hu berkata, pihaknya menyasarkan jualan Demak akan meningkat 10 peratus sepanjang tahun ini.

"Pada tahun lalu, kami merekodkan jualan Demak sebanyak 46,000 unit, yang mana 36,000 unit dijual menerusi pasaran tempatan manakala 10,000 unit lagi dieksport ke Bangladesh dan Myanmar.

"Tahun ini, kami sasarkan peningkatan 10 peratus kepada 51,000 unit dijual di pasaran tempatan dan luar didorong jualan 25,000 unit di Kemboja," katanya.

Ditanya jika syarikat bercadang untuk meluaskan jualan motosikal Demak di negara ASEAN lain, Hu berkata, pihaknya akan menilai prestasi jualan di Kemboja sebelum membuat sebarang keputusan.

"Buat masa ini kita memberi tumpuan terhadap pasaran yang sedia ada sebelum membuat perancangan seterusnya. 2018 adalah tahun yang penting untuk kami dan perjanjian ini adalah petanda baik bagi penjualan Demak.

"Di pasaran tempatan, kami sasar untuk mengekalkan penguasaan pasaran sedia ada yang mencecah 10 peratus," katanya.

234 dibaca
Berita Harian X