Rabu, 10 Januari 2018 | 7:45pm

KLIA pasang teknologi kesan serpihan termaju


KLIA antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, dengan purata 32,000 pergerakan pesawat sebulan, akan dilengkapi sistem pengesan radio ke atas serpihan objek asing gentian (FOD). - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) menjadi lapangan terbang pertama di dunia menggunakan teknologi termaju dan terkini bagi pengawasan dan keselamatan landasan.

KLIA, antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, dengan purata 32,000 pergerakan pesawat sebulan, akan dilengkapi sistem pengesan radio ke atas serpihan objek asing gentian (FOD).

Pemasangan sistem maju terkini itu adalah usaha tiga pihak iaitu Hitachi Kokusai Electric (HiKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Sistem yang akan diuji di Landasan 2, KLIA itu dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Hubungan Luar dan Komunikasi Jepun, bermula Januari 2018 sehingga Disember 2020.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata KLIA dipilih sebagai kawasan percubaan sistem itu, sekali gus meletakkan lapangan terbang itu dalam peta sebagai inovator teknologi penerbangan.


PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. - Foto BERNAMA

"Teknologi radio FOD termaju dan pertama di dunia itu akan meningkatkan langkah keselamatan dan pengawasan landasan kami, sekali gus memperkukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab serantau.

"Kami juga adalah lapangan terbang pertama di rantau ini mempunyai tiga sistem landasan bebas dengan panjang landasan empat kilometer," katanya.

Mengulas lanjut. beliau berkata, KLIA dipilih berikutan kesesuaian kedudukan geografi dengan pelbagai cuaca tropika bagi menguji kemantapan sistem itu.

Katanya, inisiatif pemindahan teknologi itu juga akan meningkatkan inovasi Malaysia kerana ia akan menjadi sistem pertama di Malaysia untuk menggunakan frekuensi radio dalam lingkungan 90GHz.

Antara kelebihan sistem itu adalah kos operasi yang rendah, pelepasan gelombang radio yang rendah dan yang paling penting, ia sistem yang berkesan untuk lapangan terbang sibuk.

INFO

  • Sistem itu mampu mengesan sebarang FOD dalam jangkauan 500 meter dalam tempoh 10 saat
  • Kamera beresolusi tinggi digunakan untuk memastikan kualiti imej
  • Ia mengumpul data pada masa nyata (real time)
388 dibaca
Berita Harian X