Rabu, 10 Januari 2018 | 8:55pm

MYEG dapat kelulusan BNM terbit wang elektronik

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan unit MY E.G. Services Bhd (MYEG), MY E.G. Alternative Payment Services Sdn Bhd (MYEG Alternative) menerbitkan wang elektronik menerusi iPayEasy e-wallet dengan had RM1,500 seorang pelanggan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MYEG memaklumkan unit itu menerima surat kelulusan daripada BNM.

MYEG Alternative perlu mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan dan semua syarat berkaitan yang dikeluarkan oleh BNM, selain menjadi ahli Skim Ombudsman Kewangan (FOS) mengikut peraturan 3 Peraturan Perkhidmatan Kewangan (Skim Ombudsman Kewangan) 2015.

"Kelulusan itu akan membolehkan MYEG Alternative menjalankan aktiviti berkaitan penerbitan wang elektronik, yang melengkapkan aktiviti perniagaan sedia ada MYEG dan anak syarikatnya.

"Jika semuanya berjalan lancar, kelulusan itu dijangkakan memberi sumbangan positif kepada prospeks kumpulan itu," katanya. - BERNAMA

778 dibaca
Berita Harian X