Khamis, 11 Januari 2018 | 6:01pm
PRESIDEN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Afmaco, Ahmad Faizul Mohamed Alwi (kanan) pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

Afmaco labur projek utiliti mega di Tawau

KOTA KINABALU: Afmaco Energy Bhd (Afmaco) berhasrat melabur RM6 bilion menerusi projek utiliti mega 'Clean Fuel Refinery Complex' (CFRC) di Tawau.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Afmaco, Ahmad Faizul Mohamed Alwi, berkata projek yang terbahagi kepada dua fasa itu bertujuan membantu memastikan keperluan bekalan elektrik yang mencukupi dan konsisten di negeri itu.

"Tapak untuk pelaksanaan projek itu sudah dikenal pasti, membabitkan keluasan kira-kira 72 hektar di Pasir Putih.

"Bahan untuk penjanaan tenaga elektrik atau lignite yang kita gunakan adalah mesra alam sekitar dan menggunakan teknologi dari China," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ahmad Faizul berkata, pada masa ini, Afmaco telah memperoleh kelulusan dan lesen untuk operasi projek CFRC dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Kita hanya menunggu kelulusan daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

"Apabila mendapat kelulusan KeTTHA dan SESB, barulah projek keseluruhan dua fasa dilaksanakan dengan mengadakan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA).

"EIA akan mengambil masa enam ke lapan bulan dan pembinaan akan mengambil masa dua tahun setengah sebelum projek ini beroperasi," katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, selain membantu pengembangan ekonomi negeri itu.

809 dibaca
Berita Harian X