Khamis, 11 Januari 2018 | 7:19pm

CIMB, PFG meterai perjanjian bersama

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) memeterai perjanjian dengan

(PFG) bagi meningkatkan pemilikan PFG dalam CIMB-Principal Asset Management Group dan CIMB-Principal Islamic Asset Management.

Melalui perjanjian itu, kepentingan PFG di dalam kedua-dua entiti berkenaan akan meningkat kepada 60 peratus manakala CIMB mengekalkan 40 peratus kepentingan.

Usaha sama akan diuruskan secara bersama oleh kedua-dua syarikat. Urus niaga dijangka dimuktamadkan pada suku kedua tahun ini dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata sebagai sebuah bank universal peneraju di ASEAN, pengurusan aset terus menjadi bahagian penting dalam perniagaan perbankan rantau pihaknya.

Katanya, penyusunan semula saham itu akan memastikan usaha sama pengurusan aset CIMB Group dengan PFG mencapai potensi maksimum dan terus mencipta nilai untuk kumpulan.

"Kepakaran dalam pelaburan berskala dan meluas adalah penting untuk perniagaan ini dan kami percaya penyusunan semula strategik ini akan meningkatkan cadangan nilai usaha sama untuk membolehkan kami berkhidmat kepada pelanggan dengan lebih baik," katanya dalam kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, usaha sama itu akan menyaksikan CIMB Group merekodkan keuntungan daripada pelupusan sahamnya kira-kira RM950 juta dan akan menyaksikan nisbah CET1 meningkat kira-kira 18 mata asas.

"Penyusunan semula ini juga membolehkan kami merealisasikan keuntungan daripada pelaburan strategik di CIMB Principal dan akan terus mengambil bahagian dalam usaha sama ini selaku pemegang saham 40 peratus," katanya.

CIMB and PFG sudah bekerjasama di rantau ini sejak tahun 2004 dan berjaya meningkatkan operasi mereka di Malaysia, Singapura, Indonesia serta Thailand.

Kumpulan syarikat CIMB-Principal Asset Management menguruskan lebih RM70 bilion aset di bawahnya dan antara pengurus aset terbesar di rantau ini manakala CIMB-Principal Islamic Asset Management pula menguruskan mandat institusi Islam sejak 2008.

239 dibaca
Berita Harian X