Jumaat, 12 Januari 2018 | 12:59pm

MIDA mulakan Sesi Taklimat Khusus

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), meningkatkan usaha menyediakan peluang secara lebih mendalam di setiap negeri di negara ini menerusi siri Sesi Taklimat Khusus.

Sesi taklimat pertama tertumpu kepada peluang pelaburan di Perlis diadakan di sini dengan dihadiri 130 peserta terdiri daripada syarikat tempatan dan asing, dewan perniagaan dan wakil kedutaan.

Pengarah Eksekutifnya, Arham Abdul Rahman, berkata sesi taklimat itu adalah inisiatif baharu MIDA selaku usaha tambahan membantu pelabur melabur di negara ini.

Beliau berkata, ia bertindak sebagai platform bagi agensi kerajaan yang berkaitan mengemaskini komuniti perniagaan berhubung perkembangan terkini dan peluang pelaburan di negeri terbabit.

"Ia platform bagi pemain industri mendapatkan perincian mendalam berhubung perkembangan dan peluang pelaburan terkini di setiap negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sesi taklimat itu, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Perlis, Zulkafli Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah (Makro) Bahagian Perancang Ekonomi Perlis, Sanisah Sarnuji.

Arham berkata, terdapat 48 projek perkilangan di Perlis dengan jumlah pelaburan RM1.03 bilion pada 2016.

Majoriti pelaburan katanya, adalah daripada sumber domestik, iaitu sebanyak RM664.5 juta atau 65 peratus, manakala baki daripada sumber asing.

Projek itu mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan, terutamanya dalam peralatan pengangkutan, kertas, percetakan dan penerbitan, pengeluaran makanan, produk plastik.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari-September 2017, dua projek perkilangan diluluskan di Perlis dengan jumlah pelaburan RM525.0 juta.

Antara syarikat yang beroperasi di Perlis ialah Negeri Sembilan Cement; Shorubber; Covidien dari Jepun; dan MSM Perlis.

Perlis sedang mempromosi antaranya, projek Lembah Chuping, projek pelabuhan darat dan sektor pelancongan.

Sesi Taklimat Khusus ialah pada 25 Januari membabitkan perkembangan dan peluang pelaburan terkini di Kedah.

108 dibaca
Berita Harian X