Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:45pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank of China (Malaysia) Berhad (BOCM), Wang Hongwei menandatangani plak perasmian Bank of China (Malaysia) Berhad (BOCM) di Kota Syahbandar, Melaka, petang tadi. - Foto Rasul Azli Samad

Bank of China buka cawangan ke-8 di Melaka

MELAKA: Bank of China (Malaysia) Berhad (BOCM) mengumumkan pembukaan operasi cawangannya kelapan di negeri ini bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi serta perniagaan di kawasan setempat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wang Hongwei, berkata penubuhan cawangan bank yang beroperasi sejak 5 Januari lalu itu tepat pada masanya walaupun tempoh untuk merealisasikannya hanya kira-kira setahun, berbanding tiga tahun perancangan asal.

"BOCM cawangan Melaka adalah cawangan kelapan institusi perbankan terbesar dari China, beroperasi sejak lebih 100 tahun lalu.

"Melaka adalah destinasi penting dan signifikan bagi meningkatkan hubungan global dan infrastruktur fizikal menerusi inisiatif Satu Jalur, Satu Laluan di bawah projek Laluan Sutera Maritim Abad ke-21," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian bank berkenaan yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Kota Syahbandar, di sini, petang tadi.

BOCM yang beribu pejabat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur mempunyai enam cawangan di Muar dan Johor Bahru (Johor), Pulau Pinang, Klang dan Puchong (Selangor) dan Kuching (Sarawak).

Yang turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Sementara itu, Idris berkata, pembukaan cawangan bank berkenaan bakal memanfaatkan lebih ramai pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus memperluaskan rangkuman ekonomi dan kemakmuran negeri.

Katanya, pengembangan cawangan baharu BOCM akan menyaksikan strategi perniagaan itu kekal relevan seiring kemajuan negeri yang semakin berkembang pesat.

"Pembukaan bank itu di negeri ini menandakan tahap keseriusan pihak China bekerjasama dengan kerajaan negeri," katanya.

309 dibaca
Berita Harian X