Isnin, 12 March 2018 | 6:21pm

Untung 9 bulan Bermaz Auto RM123.6 juta

KUALA LUMPUR: Bermaz Auto Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM123.6 juta bagi sembilan bulan berakhir 31 Januari 2018, susut 14.2 peratus berbanding RM143.9 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia didorong oleh margin keuntungan kasar lebih kecil, khususnya pada suku pertama tahun kewangan dikaji di pasaran domestik, selain kerugian saham syarikat sekutu, Mazda Malaysia Sdn Bhd (MMSB).

Bermaz bagaimanapun mencatatkan peningkatan sembilan peratus pendapatan kepada RM1.4 bilion, berbanding RM1.3 bilion dalam tempoh sama sebelumnya disebabkan jumlah jualan lebih tinggi model baharu CX-5 dan CX-9, selain perubahan segmen jualan dengan segmen mewah lebih laris seperti model baharu CX-9 dan MX-5.

Bagi suku ketiga tahun kewangan dikaji, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai RM57.2 juta, berbanding RM39 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Ia khususnya disokong oleh operasi domestik, sejajar peningkatan jumlah jualan model baharu CX-5 dan penguasaan lebih tinggi sumbangan keuntungan daripada MMSB.

Pendapatannya dalam suku berkenaan meningkat 65.2 peratus kepada RM559.4 juta, berbanding dengan RM338.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

191 dibaca
Berita Harian X