Isnin, 12 March 2018 | 7:45pm

Jasa Merin dapat dua kontrak ExxonMobil

KUALA LUMPUR: Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd (JMM), anak syarikat Marine & General Bhd, telah memperoleh dua kontrak daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI) bernilai RM7.3 juta.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Marine & General (dahulunya dikenali sebagai Silk Holdings Bhd) berkata, kontrak itu adalah bagi penyediaan dua kapal bekalan lurus dengan penginapan bagi menyokong operasi EMEPMI.

"Kontrak yang masing-masing bermula awal dan akhir Mac 2018 adalah untuk tempoh empat bulan dengan pilihan untuk EMEPMI melanjutkan enam bulan lagi," katanya.

Kumpulan tersebut berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatannya bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2018 dan tidak dijangka memberi kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham.

Menurutnya, tidak ada risiko ketara yang terlibat dalam JMM memenuhi kewajipannya di bawah kontrak berkenaan. - BERNAMA

354 dibaca
Berita Harian X