Isnin, 12 March 2018 | 8:02pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

CIMB jalin usaha sama persediaan ke Filipina

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd, menerusi unitnya di Filipina, CIMB Bank Philippines Inc menjalinkan usaha sama dengan CIS Bayad Center Inc and FINTQnologies Corp baru-baru ini sebagai persediaan memasuki pasaran negara itu.

Kedua-dua CIS Bayad Center dan FINTQnologies adalah syarikat sekutu Philippine Long Distance Telephone Company (PLDT).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata jalinan usaha sama itu menandakan pencapaian penting dalam pengembangan kumpulan itu ke Filipina, yang dalam persediaan untuk menubuhkan operasinya di sana pada suku keempat tahun ini.

Katanya, CIS Bayad Center adalah perintis dan peneraju dalam industri kutipan bayaran penyumberan luar di Filipina dengan memiliki lebih 12,000 saluran pembayaran di seluruh negara itu.

"Dengan memanfaatkan rangkaian menyeluruh dan pelbagai perkhidmatan ditawarkan mereka akan membantu meningkatkan capaian CIMB kepada pelanggan di seluruh negara ini dengan berkesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FINTQnologies adalah peneraju tempatan dalam menyediakan penyelesaian dan perhubungan kewangan digital.

"Antara aspek lain, usaha sama dengan FINTQnologies akan membolehkan CIMB memanfaatkan pangkalan data pelanggan daripada Lendr, salah satu platform milik FINTQnologies.

"Kami gembira hubungan kami dengan PLDT telah berkembang menjadi perkongsian strategik yang kukuh dengan syarikat-syarikat berkaitannya.

"Kami yakin dengan memanfaatkan kekuatan rakan kongsi ini serta pengalaman digital CIMB yang luas, kami akan dapat menyediakan pelanggan kami di Filipina dengan pengalaman perbankan digital yang lancar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PLDT dan FINTQnologies, Manuel V Pangilinan, berkata pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan CIMB dalam bidang teknologi kewangan (Fintech) yang sedang berkembang pesat kini.

"Ini adalah sejajar dengan misi kami untuk bekerjasama dengan rakan kongsi dan membangunkan cadangan yang saling menguntungkan. Ini hanyalah permulaan perkongsian jangka panjang yang akan membuahkan hasil dengan salah satu bank terbesar ASEAN," katanya.

181 dibaca
Berita Harian X