Isnin, 12 March 2018 | 9:13pm
UNIT UMW Oil & Gas Corp Bhd (UMW-OG) mendapat kontrak bagi pembekalan Unit Kerja Penggerudian Hidraulik 460K (HWU) untuk Petronas Carigali Sdn Bhd. - Foto fail NSTP

Unit UMW-OG dapat kontrak Petronas Carigali

KUALA LUMPUR: Unit UMW Oil & Gas Corp Bhd (UMW-OG) mendapat kontrak bagi pembekalan Unit Kerja Penggerudian Hidraulik 460K (HWU) untuk Petronas Carigali Sdn Bhd.

Kontrak itu adalah sebahagian daripada rangka kerja payung yang melibatkan hubungan secara berkontrak yang berkemungkinan merangkumi beberapa siri pesanan dan panggilan individu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UMW-OG berkata ia akan meletakkan HWU, UMW Gait 6 miliknya bagi melaksanakan kerja perkhidmatan, khususnya penggerudian dengan kapasiti tarikan maksimum 460,000 paun.

Kontrak yang bermula 6 Februari 2018, membabitkan tempoh selama tiga tahun dengan pilihan bagi lanjutan selama setahun.

Ini bagaimanapun tertakluk kepada syarat untuk memperoleh dan mengekalkan lesen sah daripada pihak Petronas.

UMW-OG menyasarkan kontrak itu akan memberi sumbangan positif kepada perolehan dan aset bersih kumpulan berdasarkan andaian bahawa perkhidmatan di bawah kontrak itu dikehendaki oleh Petronas Carigali.

-BERNAMA

374 dibaca
Berita Harian X