Isnin, 12 March 2018 | 9:48pm
LAFARGE Malaysia Bhd melantik Mario Gross sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa 1 April 2018 bagi menggantikan Thierry Legrand. - Foto ihsan Lafarge Malaysia

Lafarge Malaysia lantik Gross sebagai Presiden dan CEO

KUALA LUMPUR: Lafarge Malaysia Bhd melantik Mario Gross sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa 1 April 2018 bagi menggantikan Thierry Legrand.

Dalam kenyataan hari ini, Lafarge Malaysia berkata, Gross yang memulakan kerjaya di Sika AG, Zurich pada 2002, mempunyai pengalaman global yang luas selama 15 tahun dalam perniagaan bahan pembinaan melalui peranannya di Jerman, China, Thailand dan Switzerland.

Sebelum pelantikan di Lafarge Malaysia, Gross ialah Ketua Pemerolehan Global, Kualiti dan Kemampanan Sika AG selain memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Pemerolehan Asia Pasifik dan Pengarah Urusan Sika di Thailand, Laos dan Myanmar, kata syarikat itu.

"Saya berasa bertuah dengan peluang untuk berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif​​​​​​​ Lafarge Malaysia. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Thierry atas usahanya yang hebat dalam membangunkan asas perniagaan ini dan mengukuhkan jenama Lafarge di Malaysia.

"Saya berharap dapat membangunkan syarikat melalui asas yang kukuh ini dan memperteguhkan​​​​​​​ Lafarge Malaysia sebagai syarikat bahan binaan utama di negara ini," katanya.

Lafarge Malaysia dikenali sebagai rakan pilihan bagi projek pembinaan kompleks dan menyumbang kepada sebahagian besar projek infrastruktur di negara ini. - BERNAMA

256 dibaca
Berita Harian X