Selasa, 13 March 2018 | 11:35am

RHB Research saran beli saham Bermaz Auto

KUALA LUMPUR: RHB Research Institute mengekalkan saranan beli bagi saham Bermaz Auto Bhd, pengedar rasmi kereta Mazda dan alat gantinya di Malaysia serta Filipina, berikutan sokongan pelancaran model baharu yang dijangka memacu pendapatan.

Firma penyelidikan itu berkata pelancaran CX-5 di Malaysia pada Oktober lalu adalah pemacu utama jualan dan meningkatkan margin, memandangkan tiada insentif jualan ditawarkan pada suku sebelumnya bagi menghabiskan inventori CX-5 lama, selain kadar pertukaran asing yang positif.

"Bermaz menjual 2,518 unit CX-5 baharu dalam masa empat bulan sejak pelancarannya. Dua model baharu dijangka diperkenalkan tahun ini, Mazda 6 (April) dan CX-8 (Ogos)," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

RHB Research berkata CX-8 juga akan dipasang di dalam negara pada pertengahan 2019, yang akan dieksport ke pasaran serantau kemudiannya, agak lambat sedikit daripada yang dijangkakan sebelumnya.

"Model CX akan menjadi pembawa perubahan bagi Mazda di Filipina di mana kami menjangka peningkatan kukuh bahagian pasaran dalam segmen kenderaan utiliti sukan," kata firma penyelidikan itu.

"Prospek nampaknya positif bagi Bermaz kerana produk baharu menikmati margin yang lebih baik ditambah dengan persekitaran kadar pertukaran yang lebih positif yang akan memacu pendapatan," katanya.

Ia mengulangi saranan "beli" bagi saham syarikat itu dengan harga sasaran RM2.55.

Pada 10.06 pagi, harga saham Bermaz Auto meningkat 17 sen kepada RM2.19 dengan 1,757,300 lot bertukar tangan.

-BERNAMA

257 dibaca
Berita Harian X