Isnin, 16 April 2018 | 5:29pm
ADISSADIKIN Ali. - Foto Eizairi Shamsudin

RHB Islamic perkenal Kad MyDebit Korporat RHB

KUALA LUMPUR: RHB Islamic Bank Bhd memperkenalkan 'Kad MyDebit Korporat RHB' bagi mengurangkan penggunaan tunai dan cek, sekali gus memperkukuhkan lagi platform pembayaran elektronik.

Pelancaran produk terbaharu itu turut mendapat kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah Urusannya, Datuk Adissadikin Ali, berkata kad terbaharu itu diperkenalkan untuk mengurangkan pembayaran menerusi tunai dan cek di kalangan agensi JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

"Kami sudah mencapai 16 peratus penurunan bagi pembayaran menerusi tunai dan cek yang diterima dari cawangan RHB pada 2017 dan kami yakin jumlah itu dapat dikurangkan lagi menjelang akhir tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kad MyDebit Korporat RHB adalah kaedah tanpa tunai bagi pemilik perniagaan untuk membuat pembayaran kepada agensi kerajaan tempatan.

Langkah itu diperkenalkan selaras dengan Pelan Tindakan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2011-2020, yang bertujuan mengurangkan penggunaan cek kepada 100 juta menjelang 2020, daripada 205 juta cek yang direkodkan pada 2011.

Pada 2017, RHB menerima sebanyak 1.5 juta transaksi tunai dan cek untuk pembayaran perkhidmatan kerajaan, yang mana 236,749 urus niaga adalah daripada JKDM.

Bagi permohonan Kad MyDebit Korporat RHB, syarikat hanya perlu membuka atau mengekalkan akaun semasa dan kad itu disediakan bagi pelanggan korporat RHB.

Kad berkenaan juga boleh digunakan bagi pembayaran GST di mana-mana Cawangan RHB di seluruh negara, tanpa memerlukan pembayaran tunai atau cek.

120 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »