;
Selasa, 15 Mei 2018 | 6:09pm

Dua ahli lembaga pengarah TNB tarik diri

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan dua ahli lembaga pengarahnya menarik diri secara sukarela daripada pemilihan senarai lembaga pengarah baharunya.

Pengarah terbabit ialah Datuk Abd Manaf Hashim dan Datuk Sakthivel Alagappan.

Pengumuman itu dibuat dalam kenyataan di Bursa Malaysia, petang semalam.

Terdahulu, pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TNB ke-28, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, berdasarkan notis yang diberikan, pada mulanya terdapat empat ahli lembaga pengarah mahu melalui proses pemilihan semula tetapi kemudiannya hanya dua sahaja memilih untuk tidak melalui proses itu.

"Ini dibuat atas anggapan bahawa perlantikan mereka mempunyai hubung kait dengan politik dan mereka tiada lagi dalam lembaga pengarah.

"Secara dasarnya sebarang pelantikan pengarah bebas adalah tertakluk kepada lembaga pengarah dan mana-mana pencalonan yang dibuat perlu mengambil kira latar belakang kelayakan profesional mereka sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Bagaimanapun, dengan pentadbiran kerajaan baharu (seperti dinyatakan dalam kenyataan media mereka sebelum ini), kami sebagai syarikat milik kerajaan (GLC) juga perlu bersikap profesional dalam apa jua yang kami lakukan," katanya.

Moggie berkata, operasi TNB perlu sejajar dengan kerajaan hari ini yang mengutamakan profesionalisme dan tadbir urus yang baik, selain pada masa sama menilai setiap pelaburan yang dibuat demi manfaat pemegang saham dan juga negara.

Laporan media sebelum ini menyatakan, kerajaan akan mengkaji semula dan mungkin mengubah pelantikan ahli politik dalam lembaga pengarah syarikat (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Ini kerana Ketua Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin tidak mahu syarikat GLC dan GLIC mendapat campur tangan tidak wajar daripada ahli politik mahu pun pihak luar.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang baharu, Moggie menyifatkan pelantikan itu adalah tepat dan mampu menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Beliau (Dr Mahathir) adalah seorang pemimpin sangat berpengalaman dan dipilih oleh rakyat. Beliau mampu menyerlahkan kepimpinannya untuk negara.

"Pada masa sama, kerajaan baharu juga turut berkonsepkan 'mesra peniaga' yang mana akan membantu memacu keuntungan syarikat pada masa depan," katanya.

7545 dibaca
Berita Harian X