Rabu, 16 Mei 2018 | 1:40pm
PENGARAH Urusan Deleum Bhd, Nan Yusri Nan Rahimy. - Foto Yazit Razali

Deleum beri tumpuan kepada enam fokus utama pelan strategik

KUALA LUMPUR: Penyedia rangkaian produk dan perkhidmatan sokongan khusus kepada industri minyak dan gas (O&G), Deleum Bhd akan terus memberikan tumpuan kepada enam fokus utama dalam pelan strategiknya tahun ini.

Pengarah Urusannya, Nan Yusri Nan Rahimy, berkata enam fokus utama itu merangkumi pengurusan tunai dan pengurusan kos; perniagaan hiliran; perniagaan antarabangsa; teknologi; pembangunan modal insan dan juga komunikasi dalaman dan luaran.

Beliau berkata, pihaknya mula menyaksikan pemulihan dalam harga minyak dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan Deleum akan mengambil pendekatan berhati-hati tetapi optimistik bagi memastikan pertumbuhan dua digit dapat dicapai tahun ini.

"Kami berada dalam industri yang unik kerana perkembangan kami bergantung kepada prestasi PETRONAS di peringkat domestik, manakala operasi antarabangsa kami bergantung kepada pengendali di negara berkenaan.

"Secara tidak langsung, ia juga bergantung kepada strategi yang bakal mereka gunakan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan dalam pasaran minyak dan gas di masa hadapan.

"Dalam masa yang sama, kami juga akan bergerak seiring dengan perkembangan berkenaan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-13 di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Kewangannya, G Jayanthi. Deleum mencatat keuntungan sebelum cukai berjumlah RM54 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, peningkatan sebanyak 8.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pendapatan kumpulan bagaimanapun susut 12.3 peratus kepada RM534.1 juta berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh keadaan dagangan yang mencabar terutamanya dalam segmen kuasa dan jentera (P&M) serta perkhidmatan lapangan minyak (OS).

Mengulas lanjut, Nan Yusri berkata, nilai kontrak yang dimiliki pihaknya pada masa ini berjumlah RM2 bilion dan akan berakhir pada tahun 2023.

"Sehingga 31 Mac lalu, kami telah mengemukakan tender baharu berjumlah RM470 juta bagi ketiga-tiga segmen operasi kami iaitu P&M, OS dan penyelesaian hakisan bersepadu (ICS).

"Segmen P&M masih menjadi penyumbang utama kepada perolehan kumpulan dan dalam masa yang sama aliran menaik juga dapat disaksikan daripada OS dan ICS," katanya.

Deleum juga memperuntukkan antara RM20 juta hingga RM30 juta bagi perbelanjaan modal pada tahun ini.

INFO

Deleum mengisytiharkan dividen interim sebanyak 3.25 sen bagi sesaham biasa

121 dibaca
Berita Harian X