Rabu, 16 Mei 2018 | 6:42pm
PENGERUSI Pharmaniaga Bhd, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Untung suku pertama Pharmaniaga RM29 juta

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd mencatatkan untung sebelum cukai RM29 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2018, berbanding RM28 juta pada tempoh sama pada tahun lalu, manakala hasil merekodkan jumlah sebanyak RM618 juta.

Pengerusinya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata pencapaian berkenaan menunjukkan syarikat terus menjana nilai untuk pemegang saham, meskipun berdepan dengan pasaran yang sukar.

Beliau berkata, prestasi itu juga adalah bersandarkan sumbangan kukuh daripada sektor perniagaan swasta, yang mencatatkan pertumbuhan mantap, berserta usaha pengendalian operasi yang cemerlang dan langkah pengawalan kos yang efisien.

"Meninjau ke hadapan, kumpulan berada di landasan yang tepat selari dengan strategi perniagaan iaitu pertumbuhan yang didorong oleh pasaran dan penambahbaikan operasi secara berterusan.

"Kami akan memberi tumpuan memanfaatkan pasaran domestik dan antarabangsa dengan tawaran produk baharu dipacu oleh penyelidikan dan pembangunan serta melaksanakan inisiatif untuk mempertingkat rantaian nilai operasi dan optimumkan kos dan produktiviti.

"Kami yakin dengan strategi dua hala ini, ia membolehkan kumpulan meraih prospek cerah dalam sektor penjagaan kesihatan dan mengekalkan momentumnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam suku dikaji, bahagian logistik dan pengedaran mencatatkan prestasi lebih baik, dengan untung sebelum cukai sebanyak RM10 juta berbanding RM2 juta pada suku tahun yang sama tahun lalu.

Ini dicapai dengan perbelanjaan pemasaran dan promosi yang lebih bertumpu.

Sementara itu, bahagian pengilangan mencatatkan untung sebelum cukai RM20 juta, sedikit rendah daripada RM26 juta yang dilaporkan pada suku tahun yang sama tahun lalu.

Lodin berkata, perkara terbabit adalah disebabkan oleh permintaan lebih rendah di bawah perniagaan konsesi dan juga perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan yang lebih tinggi.

Sementara itu, bahagian Indonesia mencatatkan defisit RM0.4 juta berikutan penyusutan ringgit berbanding rupiah Indonesia dan peningkatan kos kewangan.

Selain itu, pendapatan sesaham kumpulan ialah 6.8 sen, manakala nilai aset bersih sesaham berada pada paras RM2.02 pada 31 Mac 2018.

Sejajar dengan komitmen kumpulan untuk menambah nilai bagi pemegang saham, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama 5 sen sesaham.

Dividen akan dibayar pada 20 Jun 2018 kepada pemegang saham yang tersenarai dalam daftar pada 1 Jun 2018.

263 dibaca
Berita Harian X