;
Rabu, 16 Mei 2018 | 6:46pm
KETUA Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta (kiri) dan Ketua Serantau Perbankan Pilihan dan Segmen Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB Bank Bhd, Desmond Teoh pada majlis pelancaran CIMB FIRST, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

CIMB FIRST tawar penyelesaian kewangan holistik

CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) memperkenalkan produk terbaharunya, CIMB FIRST dalam usaha meningkatkan kadar pengambilan pelbagai produk yang ditawarkan kumpulan perbankan itu.

Ketua Serantau Perbankan Pilihan dan Segmen Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB Bank Bhd, Desmond Teoh, berkata pada masa ini, CIMB Group menerima kira-kira 60,000 permohonan akaun baharu setiap bulan.

"Menerusi pelancaran platform terbaharu, CIMB FIRST, kami menyasarkan peningkatan bagi kadar pengambilan produk kedua seperti simpanan, kewangan, insurans, pelaburan dan kad kredit (untuk transaksi) daripada kalangan pelanggan kami.

"Kami yakin produk ini akan mendapat perhatian ramai kerana berdasarkan pra-pelancaran CIMB FIRST tiga bulan lalu, ia merekodkan kadar pengambilan kira-kira 15 peratus.

"Pada masa sama, CIMB juga kini menawarkan kira-kira 30 rangkaian pilihan produk kepada pelanggan kami," katanya pada sidang media selepas pelancaran CIMB FIRST, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta.

Majlis pelancaran CIMB FIRST disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

CIMB FIRST adalah platform yang menawarkan penyelesaian kewangan holistik berdasarkan keperluan pelanggan menerusi khidmat nasihat kewangan maya.

CIMB FIRST, iaitu terdiri daripada kewangan, insurans, pulangan, simpanan dan transaksi membolehkan setiap pelanggan memilih profil dalam talian terbaik untuk mereka.

Platform itu turut merangkumi urus niaga dalam simpanan, pembiayaan, insurans, pelaburan dan kad kredit untuk memberi pilihan kepada pelanggan ke arah perancangan kewangan lebih bersistematik.

Sementara itu, Gupta berkata, melalui CIMB FIRST, pihaknya berharap mampu menjadi rakan kongsi kepada penyelesaian kewangan serta memenuhi keperluan pelanggan mereka.

"CIMB FIRST membantu memudahkan keperluan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, golongan profesional, mereka yang sudah berkahwin, pesara, ekspatriat dan usahawan," katanya.

Info:

- CIMB FIRST boleh dimohon menerusi atas talian atau ke cawangan CIMB seluruh negara.

- Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.cimbbank.com.my dan www.cimbislamic.com.my.

311 dibaca
Berita Harian X