Selasa, 5 Jun 2018 | 9:51pm
Pengarah Urusan Bioalpha Holdings Bhd, William Hon.

GST sifar bantu tingkatkan jualan produk Bioalpha

KUALA LUMPUR: Bioalpha Holdings Bhd, pengeluar produk makanan tambahan kesihatan, menjangkakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus berkuat kuasa 1 Jun lalu akan meningkatkan lagi permintaan domestik terhadap produknya.

Pengarah Urusannya, William Hon berkata pasaran domestik adalah pemacu pertumbuhan utama syarikat pada 2017, dengan bahagian pembuatan dan farmasi runcit merekodkan jualan lebih tinggi.

"Kami menjangkakan aliran ini akan berterusan pada 2018, dengan disokong peningkatan permintaan daripada pelanggan sedia ada dan baharu terhadap produk pembuatan asli," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Hon berkata, Bioalpha akan melancarkan beberapa produk baharu di Malaysia, Indonesia dan China tahun ini untuk mendorong minat dan mengekalkan kerancakan pasaran.

Mengenai rancangan pengembangan, beliau berkata syarikat bersedia untuk memenuhi tempahan yang tinggi daripada pelanggan sedia ada dan baharu pada masa depan.

Aktiviti pembersihan kawasan dan penanaman sedang dijalankan di taman herba di Pasir Raja, Terengganu dan Desaru, Johor.

"Kami menjangkakan dapat meraih 2,000 tan herba mentah segar dari kedua-dua taman itu menjelang​​​​​​​ 2020. Tahun ini, kami merancang untuk mula mendapatkan hasil tanaman kelapa dengan 3,000 pokok telah ditanam di Taman Herba Desaru.

"Kami juga menambah tanaman yang mempunyai permintaan tinggi seperti durian Musang King di Taman​​​​​​​ Herba Pasir Raja," katanya.

- BERNAMA

186 dibaca
Berita Harian X