Jumaat, 12 Oktober 2018 | 4:02pm
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Mohammad Nazli Abdul Aziz. -Foto Mohd Fadli Hamzah

MAHB sasar pendapatan bukan aeronautik RM600 juta menjelang 2021

LANGKAWI: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasarkan sumbangan pendapatan bukan aeronautik sebanyak RM600 juta menjelang 2021, dengan memanfaatkan kategori produk berprestasi tinggi.

  

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan komersialnya, Mohammad Nazli Abdul Aziz, berkata sumbangan pendapatan bukan aeronautik operator pengendali lapangan terbang itu akan disokong oleh peningkatan penumpang kelas menengah yang semakin bertambah terutama di Asia Pasifik (APAC).

   

"Kami mahu kompetitif seperti rakan serantau kami. Kami komited untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi runcit terbaik di rantau Asia Tenggara (SEA).

  

"Lapangan terbang kami kini mencapai keupayaan sangat cepat dengan gabungan lokasi yang tepat, kos perjalanan yang lebih rendah dan mata wang yang berpatutan, menjadikan Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan dalam kalangan pelancong," katanya semasa wawancara kumpulan media di Seminar Lapangan Terbang Kecil dan Sedang Membangun (SEAS) 2018 Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) di sini, hari ini.

Nazli berkata, MAHB menjangkakan sektor penerbangan tempatan dan perniagaan runcitnya akan terus berkembang pesat dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

 

"Dengan peluang itu, kami boleh melipatgandakan perniagaan runcit kami kerana kami berada di rantau yang mempunyai penduduk kelas menengah yang semakin meningkat seperti China, India dan Indonesia," katanya.

  

Mohammad Nazli berkata, pelancong terbabit akan sering melakukan perjalanan kerana pendapatan mereka berkembang dengan pesat, yang seterusnya mendorong mereka untuk berbelanja terutamanya di pasaran e-dagang.

  

Katanya, pendapatan bukan aeronautik Kumpulan MAHB dijangka meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, disokong oleh peruncit fesyen mewah di dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

  

Beliau berkata, MAHB juga berminat untuk membangunkan ruang tanah yang ada di dalam KLIA seperti menambah ruang letak kereta dan ruang runcit berasaskan tanah untuk melengkapkan kemudahan sedia ada di lapangan terbang itu.

  

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa hubungan strategik dengan syarikat penerbangan adalah penting untuk memaksimumkan aliran trafik penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang MAHB dengan mengguna pakai inisiatif e-dagang.

Katanya, akan terdapat lebih banyak peruncit jenama mewah di KLIA, kerana pengendali lapangan terbang itu sedang mengkaji proses tender dan corak beli-belah penumpangnya serta memformat semula tawaran runcit di seluruh rangkaian lapangan terbangnya.

  

Mohammad Nazli berkata, MAHB akan terus menyediakan tawaran runcit premium di zon bebas cukai lapangan terbang termasuk kedai fesyen serta makanan dan minuman.

  

Sebelum ini, Bisnes NSTP melaporkan bahawa MAHB berhasrat meningkatkan pendapatan bukan aeronautik kumpulannya sebanyak lima peratus dalam tempoh lima tahun.

  

Sumbangan pendapatan bukan aeronautik MAHB naik 10.5 peratus kepada RM531.1 juta pada 2017, didorong oleh jualan yang lebih kukuh yang dicatatkan oleh syarikat konsesi dan peruncit.

Segmen bukan aeronautiknya termasuk kedai bebas cukai dan bukan bebas cukai, kedai makanan dan minuman di lapangan terbang di Malaysia, operasi hotel, pertanian dan hortikultur serta pegangan pelaburan lain.

  

Mohammad Nazli berkata, gabungan jualan runcit kedua-dua terminal di KLIA adalah sebanyak RM2.2 bilion tahun lalu.

Katanya, unjuran jualan MAHB bagi tahun ini untuk kedua-dua terminal dijangka mencecah RM2.4 bilion dengan 66 peratus, diperoleh daripada segmen bebas cukai.

Beliau juga mengesahkan bahawa peruncit mewah termasuk Rolex, Michael Kors, Coach dan Furla akan menubuhkan cawangan mereka di klia2 pada suku pertama tahun depan.

91 dibaca
Berita Harian X