Rabu, 9 Ogos 2017 | 9:36am

KotaSAS berorientasi pengangkutan, komersial

Kuantan: Bandar KotaSAS yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar akan menjadi bandar baharu moden berorientasikan hab pengangkutan dan komersial.

Pengarah Eksekutif KotaSAS Sdn Bhd, Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim, berkata sejak 2006, pihaknya memulakan proses perancangan untuk membangunkan bandar KotaSAS sebagai satu bandar baharu terancang dan bersepadu yang bakal mengubah landskap Kuantan ke arah lebih kondusif serta dinamik.

Daya saing pelaburan

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Tanah Makmur Berhad berkata, idea itu turut diterjemah menerusi penyediaan kemudahan infrastruktur penting dan berkualiti bagi mewujudkan daya saing dalam kalangan pelabur yang dapat menjana perniagaan serta peluang pekerjaan dan komuniti selamat serta harmoni, sejajar pelan induk sebagai pemaju perbandaran di sini.

Justeru, katanya, pemilihan bandar KotaSAS sebagai satu daripada 23 stesen utama Projek Rel Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mac lalu, akan menjadi titik permulaan ke arah menjadikan KotaSAS sebagai hab pengangkutan dan hab komersial.

"Kita difahamkan laluan kereta api ini akan mula dibina tahun ini dan dijangka siap pada 2021 bagi fasa satu yang membabitkan jajaran di Pahang. Secara tidak langsung, ini memberikan impak positif dan kemudahan pengangkutan kepada penduduk di KotaSAS serta kawasan kejiranan di sekitarnya.

"Kita juga berbesar hati kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyempurnakan majlis pecah tanah ECRL yang menghubungkan negeri di wilayah Pantai Timur dengan Lembah Klang di bandar KotaSAS ini, sekali gus membuktikan sokongan dan kerjasama erat di antara Kerajaan Malaysia serta pemaju KotaSAS dalam menjayakan program Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER)," katanya di sini, semalam.

Prasarana berkualiti, efisien

Tengku Amir Nasser berkata, kemudahan prasarana berkualiti dan efisien seperti ECRL adalah penting bagi KotaSAS untuk menjayakan pelan induknya yang menjangka nilai pembangunan kasar berjumlah RM5 bilion apabila keseluruhan pembangunan perumahan, pusat komersial dan prasarana siap sepenuhnya pada tahun 2028.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapat kepercayaan kerajaan negeri yang membuat pelaburan RM415 juta bagi membina pusat pentadbiran baharu yang kini giat dilaksanakan mengikut jadual.

   Selain kemudahan pengangkutan, beliau berkata, pihaknya juga merancang mewujudkan beberapa lagi pembangunan lain dengan kerjasama jabatan dan kementerian kerajaan serta sektor korporat seperti Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK)  Pahang, Masjid Negeri II, kemudahan kesihatan dan perubatan, pusat komersial, kompleks beli-belah serta pusat rekreasi pada masa depan.

"Kita turut menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada warga KotaSAS dengan membina Masjid Imam Ash-Shafie untuk aktiviti keagamaan, menyediakan kawasan untuk dibina sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah kebangsaan jenis Cina (SKJC) apabila memeterai memorandum persefahaman dengan Pemegang Amanah SRJKC Panching.

INFO: KotaSAS Sdn Bhd

  • Anak syarikat Kumpulan Tanah Makmur Berhad
  • Dahulu dikenali Ladang Kurnia Setia Bukit Goh bermula pada 1978
  • Sasaran populasi 30,000 mendiami KotaSAS.
  • 1,400 rumah kediaman sudah dibina.
523 dibaca
Berita Harian X