Khamis, 7 September 2017 | 10:25am

Ringgit dibuka kukuh

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan data eksport yang lebih baik daripada jangkaan meskipun ketegangan geopolitik semakin meningkat di Semenanjung Korea.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan dipetik pada 4.2200/2230 berbanding dolar AS 4.2370 /2400 semalam.

Seorang peniaga berkata, eksport Malaysia meningkat 30.9 peratus pada Julai dari tahun sebelumnya dengan penghantaran barangan perkilangan dan barangan perlombongan yang lebih tinggi.

Ini adalah kejutan peserta pasaran apabila pelabur menjangka pertumbuhan menjadi sekitar 20 peratus.

Sementara itu, beliau berkata ketegangan di Semenanjung Korea mendorong pelabur untuk mengelakkan aset yang berisiko.

"Banyak pelabur bertindak balas dengan memindahkan beberapa portfolio mereka ke aset yang dipercayai lebih selamat," katanya.

Di peringkat tempatan, rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada AS$100.5 bilion (RM431.7 bilion) pada 30 Ogos 2017, berbanding dengan AS$100.4 bilion (RM431.0 bilion) yang direkodkan pada 15 Ogos 2017.

"Kedudukan rizab ini memadai untuk membiayai 7.8 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

Bank Negara Malaysia juga dijangka mengumumkan keputusan mengenai kadar dasar semalaman hari ini.

Nota tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.1271/1300 daripada penutup hari Rabu pada 3.1336/1368 dan meningkat berbanding yen kepada 3.8648/8679 daripada 3.8950/8989 semalam.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.5050/5093 daripada 5.5204/5247 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 5.0298/0351 daripada 5.0560/0613 pada Rabu. - BERNAMA

451 dibaca
Berita Harian X