Selasa, 12 September 2017 | 2:43pm

Ekonomi Malaysia berkembang baik

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia berada pada landasan tepat untuk terus berkembang dengan baik berdasarkan pertumbuhan 4.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Tan Sri Azman Hashim, berkata daripada peratusan KDNK itu, sebanyak 3.5 peratus didorong oleh produktiviti buruh.

Katanya, trend pertumbuhan yang menggalakkan sejak 2014 itu menunjukkan ekonomi negara bergerak secara berperingkat hasil peningkatan produktiviti selain faktor digital dan teknologi.

"Inilah yang dimaksudkan dengan ekonomi didorong oleh produktiviti. Ia (produktiviti) adalah faktor utama bagi negara ini menghadapi gelombang Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

"Inisiatif produktiviti yang mantap akan melengkapkan rakyat di negara ini bagi menghadapi cabaran dalam era baharu sektor perindustrian," katanya ketika berucap pada Forum Antarabangsa berkaitan Produktiviti, di sini hari ini.

Seramai 300 peserta menyertai forum berkenaan yang terdiri dari wakil industri, persatuan perdagangan, pegawai kerajaan dan ahli akademik dari 14 negara termasuk Taiwan, Jerman, Korea, Singapura dan Malaysia.

Azman berkata, kerajaan yakin pemantauan berkala di setiap kementerian, agensi mahupun pihak industri mampu mempercepat atau mengekalkan produktiviti negara.

"Kerjasama yang dijalinkan bersama pelbagai pihak yang berkepentingan dapat mencapai objektif umum untuk meningkatkan produktiviti yang secara tidak langsung menambah baik kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

202 dibaca
Berita Harian X