Rabu, 13 September 2017 | 3:50pm
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar - Foto Hafiz Sohaimi

PNB sasar pertambahan pelabur selepas fatwa mufti

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) berharap untuk melihat pertambahan dalam pemegang unit daripada 13 juta ketika ini, susulan fatwa mufti Selangor dan Pulau Pinang yang menyatakan 'harus' atau 'dibolehkan' untuk orang Islam melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata ada beberapa kes yang mana pemegang unit memohon untuk mengeluarkan pelaburan kerana negeri mereka tidak mengeluarkan fatwa berkenaan.

"Kami menerima maklum balas positif daripada mufti Selangor dan Pulau Pinang dan pemegang unit kami boleh melabur dalam produk kami tanpa keraguan," katanya kepada media pada Persidangan Tadbir Urus dan Jaminan Syariah PNB-Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2017 di sini, hari ini.

Abdul Wahid berkata, PNB menerima permintaan untuk dana unit amanah patuh syariah dan pada 2008 ia menerima kelulusan daripada mufti lapan negeri melalui fatwa peringkat kebangsaan yang mengisytiharkan pelaburan dalam Amanah Saham Nasional Berhad diharuskan.

Beliau menjelaskan, pengeluaran fatwa menyokong pelaburan dalam dana amanah itu dibuat Jabatan Mufti Selangor pada April tahun ini, diikuti Jabatan Mufit Pulau Pinang pada Ogos.

"Kini semua negeri telah mengeluarkan fatwa positif untuk pelaburan itu," katanya.

Beliau memberi jaminan kepada pelabur yang PNB tidak akan melabur dalam saham perjudian, alkohol dan tembakau.

Persidangan sehari bertema 'Ke Arah Kemampanan Tadbir Urus Syariah dan Jaminan Dalam Institusi Islam', dianjur secara bersama oleh PNB dan USIM.

Ia bertujuan menggalak perbincangan dan kerjasama dalam kalangan sarjana dan pengamal dalam bidang perbankan dan kewangan Islam. - BERNAMA

866 dibaca
Berita Harian X