Rabu, 13 September 2017 | 7:46pm
DR Mohd Shahreen Zainooreen Madros ketika ditemui media pada Ekspo China ASEAN (CAEXPO) Ke-14 di Nanning, China, hari ini.

CAEXPO platform tembusi pasaran China

NANNING, China: Penyertaan Malaysia dalam skala besar di Ekspo China ASEAN (CAEXPO) Ke-14 menjadikan ia sebagai platform strategik kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk meneroka pasaran pengguna China sekali gus bertapak di republik itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata China sebagai ekonomi kedua terbesar dunia dengan 1.8 bilion penduduk mempunyai potensi besar untuk diteroka terutama pasaran bandar peringkat kedua dan ketiganya.

"China kekal menjadi destinasi utama kebanyakan negara begitu juga Malaysia. Masa depan sektor PKS tempatan di republik ini sangat cerah kerana permintaan daripada sektor makanan seperti sejuk beku, kerepek dan biskut berasaskan durian terus meningkat setiap tahun.

"Sejak edisi pertama CAEXPO pada 2004, kita lihat banyak usahawan tempatan sudah mengakses pasaran China. Dengan bantuan dan sokongan agensi kerajaan seperti MATRADE ia berjaya memainkan peranan dalam menghasilkan perniagaan lebih berstruktur sekali gus mengembangkan perniagaan PKS ke tahap global," katanya di CAEXPO 2017 di sini, hari ini.

Ekspo empat hari bermula semalam itu disertai 171 PKS yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan tempatan untuk pasaran China.

Ia dianjurkan bersama oleh China dan 10 negara ASEAN bermatlamat untuk mempromosikan kerjasama antara China dan ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Shahreen berkata, sambutan pelawat sangat menggalakkan sejak hari pertama CAEXPO sekali gus berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran RM350 juta perjanjian jual beli.

"Kita sedang membina lebih banyak hubungan strategik bagi membantu meningkatkan ekosistem yang mampan untuk industri tempatan menembusi pasaran China.

"Dan jika anda lihat, setiap tahun Pavilion Malaysia pasti menjadi lokasi tumpuan rakyat tempatan. Jadi, kita akan pastikan syarikat yang kita bawa mempunyai potensi dan produk yang bagus untuk diketengahkan," katanya.

Penyertaan Malaysia juga katanya, adalah sebahagian daripada strategi untuk menembusi pasaran China dan negara rantau menerusi pelaksanaan Inisiatif One Belt, One Road (OBOR) yang diterajui kerajaan China.

Katanya, inisiatif OBOR bermatlamat menyatukan ekonomi Eropah, Asia dan Afrika menerusi rangkaian prasarana pengangkutan dan komunikasi dengan menghidupkan semula Laluan Sutera.

Info:

Laluan Sutera membabitkan jajaran laluan darat merentasi Asia Tengah (Jaluran Ekonomi Laluan Sutera) dan laluan laut merentasi Lautan Hindi (Laluan Sutera Abad Ke-21), sehingga ke Eropah.

94 dibaca
Berita Harian X