Jumaat, 10 November 2017 | 8:17pm
GAMBAR fail. Taiwan Excellence Pavilion.

Taiwan Excellence Pavilion ketengah 5,000 produk

PUTRAJAYA: Lebih 5,000 produk berteknologi dan bermutu tinggi keluaran Taiwan dipamerkan menerusi Taiwan Excellence Pavilion di pusat beli-belah IOI City Putrajaya bermula hari ini hingga Ahad.

 

Pameran yang dianjurkan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) itu menampilkan pelbagai produk seperti alatan sukan, kelengkapan rumah dan barangan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TAITRA, Walter Yeh, berkata penganjuran pameran kali kedua itu adalah salah satu usaha pihaknya untuk memperluaskan lagi interaksi dengan pengguna di Malaysia.

 

"Malaysia adalah rakan kongsi yang penting kerana ia adalah rakan dagangan terbesar bagi Taiwan, malah kira-kira 16,000 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di sana.

 

"Pameran ini juga bertujuan mempereratkan hubungan dua hala antara Taiwan dan Malaysia menerusi kerjasama dalam pelbagai sektor," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Taiwan Excellence Pavilion di sini, hari ini.

 

Hadir sama, Wakil Ekonomi dan Budaya Taipei di Malaysia (TECO), James Chi-Ping Chang dan Presiden Persatuan Pelabur Taipei di Malaysia, Dave Lin.

 

Yeh berkata, Taiwan Excellence Pavilion memainkan peranan penting sebagai penghubung kepada pasaran antara dua negara, sekali gus dapat membekalkan produk yang mencerminkan budaya berteknologi tinggi lagi canggih.

 

"Oleh itu, kita menyambut baik mana-mana rakan niaga Malaysia yang ingin memasuki pasaran Taiwan dan mahu bekerjasama untuk memperluaskan lagi pasaran produk mereka," katanya.

 

Tambah Yeh, barangan yang dipamerkan kali ini adalah yang terbaik dari Taiwan kerana ia melalui proses pemilihan ketat dari segi inovasi dan kualiti yang diberikan kepada pengguna.

 

Beliau berkata, pengunjung berpeluang melihat produk ICT yang berjenama termasuk ASUS, MSI, Acer dan Adata selain pelbagai jenis produk gaya hidup serta kelengkapan rumah.

 

"Kami sangat teruja apabila berpeluang membawa barangan yang terbaik dari Taiwan kepada masyarakat di negara ini melalui pameran seperti ini," katanya.

105 dibaca
Berita Harian X