Isnin, 13 November 2017 | 6:55pm

Draf Pendedahan tadbir urus Syariah

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan Draf Pendedahan untuk meningkatkan keperluan kawal selia sedia ada dan tadbir urus Syariah bagi institusi kewangan Islam.

"Draf terbabit untuk mengukuhkan keberkesanan pelaksanaan tadbir urus Syariah dalam institusi kewangan Islam susulan peningkatan skala dan kesukaran perniagaan kewangan Islam bersama-sama perkembangan dasar yang terkini dalam bidang tadbir urus, pematuhan dan pengurusan risiko," menurut BNM dalam laman webnya.

Katanya, penambahbaikan utama kepada rangka kerja itu terdiri daripada mengukuhkan pemantauan lembaga pengarah kepada akauntabiliti dan tanggungjawab ke atas tadbir urus Syariah dan meningkatkan keperluan bagi jawatankuasa Syariah untuk menyediakan nasihat kepada institusi kewangan Islam, sejajar dengan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Bank pusat itu berkata, penambahbaikan lain termasuklah meningkatkan jaminan bagi lembaga pengarah dan pengurusan kanan untuk menggalakkan budaya patuh Syariah dan menyepadukan pertimbangan tadbir urus Syariah dalam strategi perniagaan dan risiko, dan meningkatkan kualiti fungsi kawalan dalaman untuk memastikan pengurusan yang berkesan bagi risiko ketidakpatuhan Syariah.

"Bank mempelawa maklum balas bertulis mengenai cadangan keperluan pengawalseliaan, termasuk cadangan alternatif," katanya.

Maklum balas perlu dikemukakan kepada BNM pada 11 Disember 2017 kepada shariahgovernance@bnm.gov.my, katanya. - BERNAMA

70 dibaca
Berita Harian X