Isnin, 13 November 2017 | 9:38pm

Peluang pekerjaan tertinggi dalam 5 tahun

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan pasaran buruh di Malaysia masih kekal memberangsangkan, dipacu prestasi lebih baik antara jumlah pekerja dan pekerjaan yang ditawarkan.

Jumlah pekerja mencatatkan peningkatan dua peratus tahun ke tahun, manakala pekerjaan 2.1 peratus tahun ke tahun, ditambah dengan bilangan penganggur yang berkurangan daripada 519,000 pada Julai kepada 515,000 pada September lalu.

MIDF Research menyebut, pertumbuhan positif itu menjadikan kadar pengangguran di Malaysia hanya pada kadar 3.4 peratus dalam tempoh berkenaan.

"Dengan aktiviti ekonomi domestik yang menunjukkan momentum optimis, pertumbuhan dalam tenaga buruh dan pekerjaan melepasi pertumbuhan pengangguran dalam tempoh tujuh bulan berturut-turut, sejak Mac 2017.

"Kami menjangkakan prestasi eksport yang kukuh sejak akhir tahun lalu menyumbang kepada pertumbuhan ketara dalam pasaran buruh di negara ini," katanya.

Pertumbuhan eksport pada September meningkat 14.8 peratus tahun ke tahun, iaitu pertumbuhan dua angka yang direkodkan dalam tempoh sembilan bulan berturut-turut pada 2017.

MIDF Research menyebut, secara domestik, dagangan runcit berkembang sehingga 7.6 peratus tahun ke tahun, manakala pengeluaran perindustrian meningkat 4.7 peratus tahun ke tahun dalam tempoh sama.

"Hasilnya, ia meningkatkan sejumlah 31,000 pekerjaan baharu pada September berikutan permintaan kukuh di peringkat domestik dan global.

"Justeru, kami yakin pasaran buruh akan terus stabil, manakala perbelanjaan domestik di Malaysia akan terus menyokong kepada pertumbuhan ekonomi lebih mapan," katanya.

Selain itu, katanya, kekosongan pekerjaan juga merekodkan jumlah tinggi dalam tempoh hampir lima tahun.

"Jumlah kekosongan pekerjaan pada Ogos direkodkan pada 155,600, tertinggi sejak Disember 2012 didorong oleh kekosongan dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

"Peningkatan itu selaras dengan prestasi eksport dan pengeluaran perindustrian yang kukuh pada Ogos iaitu masing-masing berkembang pesat pada 21.5 peratus dan 6.8 peratus tahun ke tahun.

"Ditambah pula dengan projek infrastruktur mega dan peningkatan dalam perbelanjaan domestik, ia turut meningkatkan peluang pekerjaan terutama dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan," katanya.

Melangkah ke hadapan, MIDF Research berkata, pihaknya menjangkakan kekosongan pekerjaan pada September kekal tinggi berikutan aktiviti perdagangan dan perindustrian luaran terus meningkat.

Menurutnya, aktiviti luaran dan perindustrian yang kukuh turut membantu kepada prestasi lebih baik dalam pertumbuhan pekerjaan dan gaji terutama dalam sektor perkilangan di Malaysia.

"Kami menjangkakan pertumbuhan gaji akan menunjukkan aliran menaik, sekali gus menyumbang kepada prestasi positif dalam perbelanjaan domestik dalam tempoh terdekat," katanya.

152 dibaca
Berita Harian X