Selasa, 14 November 2017 | 2:44pm
MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama PORTSIM China dan AladdinStreet China di Kuala Lumpur. - Foto Yazit Razali

PORTSIM China, AladdinStreet China berganding

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi Institut Perkhidmatan Teknikal dan Penyelidikan Minyak Sawit di China (PORTSIM China) menjalin kerjasama strategik dengan AladdinStreet China untuk memperluaskan pasaran minyak sawit di negara itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata kerjasama itu akan memanfaatkan platform e-dagang untuk meningkatkan pemasaran minyak sawit Malaysia di ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Beliau berkata, pasaran China dengan 1.5 bilion penduduk menawarkan peluang pertumbuhan besar kepada produk sawit negara.

Kerjasama ini adalah untuk meningkatkan pemasaran minyak sawit Malaysia di China dengan memanfaatkan platform e-dagang.

"Saya pasti kerjasama ini akan berjaya," katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama PORTSIM China dan AladdinStreet China di sini, hari ini.

Ia diadakan sempena penganjuran Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2017 (PIPOC 2017).

Bagi menyokong industri minyak sawit Malaysia dan MPOB, AladdinStreet China akan memberikan pendaftaran percuma bernilai RMB300,000 (RM191,423.29) bagi 10 pengeksport atau pedagang minyak sawit Malaysia yang paling awal menyertai platformnya.

Platform e-dagang dilihat sebagai pemacu perubahan kepada industri minyak sawit Malaysia terus meningkatkan capaian kepada pasaran global secara lebih berkesan.

Kini adalah tepat pada masanya bagi peserta industri untuk merebut peluang untuk menyertai platform e-dagang yang disediakan AladdinStreet China dalam mengukuhkan pasaran di China.

183 dibaca
Berita Harian X