Selasa, 14 November 2017 | 5:54pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (dua dari kiri) dan Presiden Insurans Am dan Takaful Zurich Malaysia David Fike (dua dari kanan) pada majlis pelancaran 'Pos Laju Shield'di Alor Gajah. - Foto BERNAMA

Pos Laju Shield

ALOR GAJAH: Cabang kurier Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia), Pos Laju menyasar RM1.2 juta nilai jualan perkhidmatan pakej perlindungan takaful, Pos Laju Shield yang diperkenalkan sejak Jun lalu.

Pakej perlindungan bungkusan menerusi kerjasama dengan Zurich Takaful Malaysia Berhad itu disasarkan kepada pelanggan dan pemilik perniagaan e-dagang yang inginkan penghantaran mendapat perlindungan premium.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata Pos Laju Shield menawarkan nilai perlindungan kerugian dan kerosakan sehingga RM4,000 dengan harga serendah RM0.60 sen bagi setiap barang Pos Laju.

"Kita turut menawarkan empat pakej untuk pilihan pelanggan," katanya selepas merasmikan perkhidmatan Pos Laju Shield di Pos Laju Alor Gajah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Insurans Am Zurich Malaysia, David Fike dan Ketua Pegawai Operasi Penyelesaian Rantaian Bekalan Pos Laju, Nor Azizan Tarja.

Mohd Shukrie berkata, Pos Laju kini berada di landasan tepat untuk mencatat keuntungan RM80 juta pada tahun ini, berbanding RM72 juta tahun lalu hasil perkhidmatan e-dagang serta pengenalan produk terbaharu.

Sementara itu, David berkata, pelan perlindungan berkenaan merangkumi perlindungan untuk kelewatan, kehilangan serta kerosakan bagi penghantaran barang Pos Laju, termasuk akibat bencana alam.

"Sebarang bentuk tuntutan boleh dilakukan dengan mudah di mana-mana Pejabat Pos atau rangkaian Zurich Takaful seterusnya menawarkan kemudahan kepada segmen pelanggan lebih luas," katanya.

INFO

Empat pakej Pos Laju Shield:

  • Shield 1 - RM8.48 (10 bungkusan)
  • Shield 2 - RM74.20 (100 bungkusan)
  • Shield 3 - RM206.70 (300 bungkusan)
  • Shield 4 - RM318 (500 bungkusan)
261 dibaca
Berita Harian X