Selasa, 14 November 2017 | 9:09pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah (tiga dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ketua pegawai eksekutif Bell Corporation Puan Sri Dr Liana Low (kanan), ketua pegawai eksekutif POIC Sabah Datuk Dr Pang Teck Wai (tengah) dan pengerusi MCE Jeffery (kiri) dalam satu majlis Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

MoU wujud pusat pengumpulan biomas di Sabah

KOTA KINABALU: Kawasan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Trading Sdn Bhd hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Bell Corporation Sdn Bhd dan My Clean Energy Sdn Bhd (MCE), bagi mewujudkan pusat pengumpulan biomas satelit di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, berkata melalui MoU itu, kerajaan negeri berharap dapat melihat perkembangan besar dalam industri biomas di Sabah.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan tahniah terhadap ketiga-tiga pihak yang terbabit dalam kerjasama ini.

"Pewujudan pusat pengumpulan biomas satelit ini akan menstabilkan harga biojisim dan memastikan keselamatan bekalan jangka panjang biomas.

"Ia juga akan membolehkan permulaan pelaburan berskala besar dalam industri biomas di Sabah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan MoU itu di sini, hari ini.

Pada Majlis itu, POIC Trading Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Dr Pang Teck Wai; Bell Corporation Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Puan Sri Dr Liana Low, manakala MCE diwakili Pengerusinya, Jeffery Lu.

Raymond yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, berkata kerajaan negeri berharap MoU berkenaan terus berkembang menjadi perjanjian perniagaan penuh, sekali gus menjadi dokumen untuk penubuhan pusat kutipan biomas di Sabah.

Sementara itu, Pang berkata, melalui perjanjian itu, Bell Corporation Sdn Bhd akan menyediakan tapak berhampiran kilang kelapa sawit yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Lahad Datu.

MCE pula akan memastikan bekalan jangka panjang, manakala POIC pula bertindak sebagai pembeli biomas.

"Untuk memulakan pembinaan pusat pengumpulan itu, kita akan mencari pelabur, antara agenda POIC, untuk menyertai kerjasama ini, bagi mengkomersilkan teknologi menggunakan biomas di POIC Lahad Datu. - BERNAMA

136 dibaca
Berita Harian X