Selasa, 14 November 2017 | 9:22pm

TAISEI-SUNWAY JV peroleh kontrak RM139.83j bina gudang

KUALA LUMPUR: Sunway Construction Group Bhd, melalui usaha sama anak syarikatnya, memperoleh kontrak bernilai RM139.83 juta daripada Nippon Express (Malaysia) Sdn Bhd bagi merekabentuk dan membina gudang baharu di Shah Alam, Selangor.

TAISEI-SUNWAY JV, usaha sama tidak diperbadankan dibentuk di antara TAISEI Corporation dan Sunway Construction Sdn Bhd (SCSB), anak syarikat Sunway Construction, bagi membida projek itu dan jika berjaya, melaksanakannya berdasarkan perjanjian usaha sama pra-bidaan antara TAISEI dan SCSB bertarikh 28 September 2017.

"Selepas menerima projek itu, TAISEI dan SCSB akan memeterai perjanjian usaha sama yang terperinci dengan nisbah ekuiti 50:50," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Projek berkenaan bagi tempoh kira-kira 22 bulan dan dijangka siap pada suku ketiga 2019.

Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Sunway Construction Group dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dan seterusnya.

Selepas memperoleh projek itu, nilai perolehan kontrak yang terkumpul setakat ini berjumlah RM6.8 bilion. - BERNAMA

205 dibaca
Berita Harian X