Rabu, 29 November 2017 | 7:40pm

ASNB umum agihan pendapatan 5 sen ASN 3

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan agihan pendapatan lima sen bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2017.

PNB dalam satu kenyataan hari ini, berkata kadar agihan pendapatan itu membabitkan jumlah pembayaran RM64.77 juta dan lebih 43,000 pemegang unit yang kini memiliki lebih 1.29 ion unit ASN 3.

Indeks FBM KLCI menunjukkan peningkatan prestasi dalam tahun kewangan ASN 3, merekodkan harga pulangan sebanyak 5.9 peratus, satu pemulihan selepas dua tahun berturut-turut mencatatkan kemerosotan.

Pasaran dibuka pada 1,619 mata pada 30 November 2016 dan ditutup pada 1,714 mata semasa 28 November 2017, katanya.

Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata prestasi positif pasaran bagi tahun kewangan semasa untuk ASN 3 membolehkan ASNB memberikan pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit ASN 3.

"Bursa tempatan mendapat faedah daripada prestasi ekonomi yang kukuh dan harga komoditi yang lebih tinggi. Aliran masuk yang stabil daripada pelabur asing agak ketara dalam separuh pertama tahun ini.

"Separuh kedua 2017, bagaimanapun, menyaksikan pasaran dilanda kebimbangan mengenai keadaan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi dasar kewangan Amerika Syarikat," katanya.

Abdul Wahid berkata, sehingga 31 Oktober tahun ini, ASN 3 mencatatkan pendapatan bersih RM62.25 juta yang diterjemahkan kepada pulangan dividen sebanyak 4.9 peratus, menyumbang kepada jumlah pulangan dari tahun sehingga tarikh, sebanyak 5.9 peratus, selaras tumpuan memberi pulangan seimbang melalui pelaburan dalam ekuiti dan pendapatan tetap.

PNB berkata, pengiraan agihan pendapatan itu dibuat berdasarkan kepada unit-unit yang dipegang sehingga 30 Nov 2017.

Pembayaran agihan pendapatan itu akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Disember 2017 berdasarkan nilai aset bersih ASN 3 pada 30 November 2017.

"Pemegang unit yang telah melanggan ASN 3 melalui Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun pelaburan KWSP masing-masing," katanya.

Semua urus niaga bagi ASN 3 ditangguhkan mulai 28 November 2017 sehingga 3 Disember 2017 untuk memudahkan pengiraan agihan pendapatan, katanya. - BERNAMA

2302 dibaca
Berita Harian X