Rabu, 29 November 2017 | 8:50pm

KWSP catat pendapatan pelaburan tinggi RM12.95

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan dalam pendapatan pelaburan kepada RM12.95 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2017.

Pendapatan itu meningkat 5.13 peratus, berbanding RM12.32 bilion yang direkodkan tempoh sama tahun lalu.

Mengulas mengenai prestasi kewangan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif, berkata keseluruhan prestasi portfolio mengambil manfaat daripada peningkatan pasaran ekuiti luar negara dalam suku ketiga 2017.

"Kami tidak melihat pulangan yang sama daripada pasaran ekuiti domestik kerana prestasi FBM KLCI tidak berubah berbanding pasaran lain yang mencatatkan pertumbuhan antara dua dan lima peratus," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

KWSP mencatatkan jumlah rosot nilai bersih lebih tinggi sebanyak RM791.55 juta bagi suku dikaji, selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), lebih tinggi berbanding RM349.59 juta yang dicatatkan suku sama tahun lalu.

Mohamad Nasir berkata, ia disebabkan oleh peruntukan tinggi yang dicatatkan bagi ekuiti domestik dalam sektor telekomunikasi dan minyak dan gas.

Bagi tempoh dikaji, ekuiti yang merangkumi 41.86 peratus dari keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP, menyumbang sebanyak RM7.91 bilion atau 61.09 peratus dari keseluruhan pendapatan pelaburan.

Pendapatan itu adalah 12.75 peratus lebih tinggi daripada RM7.02 bilion yang dicatat pada suku sama tahun lalu.

Sehingga September 2017, sebanyak 50.45 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang merekodkan pendapatan sebanyak RM4.49 bilion, atau 34.63 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan suku tahun.

Nilai aset pelaburan KWSP kini mencecah RM771.20 bilion, meningkat 5.48 peratus atau RM40.09 bilion, daripada RM731.11 bilion pada 31 Disember 2016.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM370.10 bilion, atau 48 peratus, adalah dalam pelaburan patuh Syariah manakala selebihnya dalam aset tidak patuh Syariah.

"Kami masih mempunyai satu lagi suku tahun sebelum akhir tahun, dan kami yakin bahawa mempelbagaikan pelaburan ke dalam pelbagai aset membolehkan kami untuk mencapai sasaran dividen sebenar tidak kurang dari dua peratus melebihi kadar inflasi untuk tiga tahun berturut-turut bagi Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional," kata Mohamad Nasir.

511 dibaca
Berita Harian X