Khamis, 30 November 2017 | 1:02pm

Keyakinan Jepun terhadap Malaysia kukuh - PM

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menerima pelaburan daripada Jepun pada tahun ini, sekali gus membuktikan tahap keyakinan negara itu terhadap Malaysia kekal kukuh, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, dalam tempoh enam bulan pertama, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan sebanyak 16 projek pembuatan daripada Jepun bernilai RM559 juta.

Beliau berkata, 75 peratus daripada pelaburan itu adalah untuk pengembangan dan projek kepelbagaian daripada syarikat Jepun yang beroperasi di negara ini.

"Pelaburan semula itu menunjukkan tahap kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap Malaysia sebagai lokasi utama untuk melakukan perniagaan," katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan Malaysia Nikkei 2017, di sini, hari ini.

Najib berkata, Jepun memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia selepas menjadi antara empat pelabur asing utama di negara ini sejak 1980-an.

Beliau berkata, dari segi saham pelaburan langsung asing (FDI), Jepun kekal menjadi pelabur asing kedua terbesar di negara ini selepas Singapura dengan nilai pelaburan berjumlah RM70 bilion sehingga September lalu.

"Jepun juga adalah sumber utama terhadap FDI di Malaysia dalam sektor pembuatan. Sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,621 projek dilaksanakan dengan nilai pelaburan berjumlah RM88.5 bilion.

"Semua projek itu sekali gus memberi manfaat terhadap rakyat Malaysia menerusi tawaran peluang pekerjaan kepada 340,000 orang. Kehadiran pelaburan dari Jepun kukuh terutama dalam produk elektronik, bahan kimia, barangan pengangkutan dan produk besi asas.," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Bank Pembangunan Asia mengenal pasti Malaysia sebagai salah satu daripada tujuh negara Asia yang bakal menerajui pertumbuhan Asia bersama negara maju seperti China, India dan Jepun.

"Baru-baru ini, Laporan Bank Dunia 2018 menunjukkan Malaysia kekal antara 25 ekonomi terbaik di seluruh dunia untuk peluang perniagaan menguntungkan. Malah, kita berada di tangga kedua antara negara ASEAN dan kelima di rantau Asia.

136 dibaca
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Forum Perniagaan Nikkei Malaysia 2017. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X