Khamis, 30 November 2017 | 5:06pm
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Caj Perkhidmatan Penumpang di klia2 naik

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan semakan semula Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) bagi destinasi penerbangan antarabangsa selain ASEAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang dinaikkan kepada RM73 daripada RM50 bermula 1 Januari 2018.

MAVCOM dalam satu kenyataannya berkata, penetapan semakan semula kadar baharu bagi klia2 itu bertujuan untuk kesamarataan kadar PSC bagi semua lapangan terbang di Malaysia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, ia menjejaki pengumuman semakan semula PSC pada Oktober tahun lalu yang menyaksikan hanya klia2 memiliki kadar PSC bagi penerbangan destinasi antarabangsa selain ASEAN yang lebih rendah berbanding lapangan terbang lain di Malaysia.

"Bermula 1 Januari ini, kadar PSC bagi destinasi antarabangsa selain ASEAN di klia2 akan dikenakan sebanyak RM73, iaitu kadar yang sama dengan lapangan terbang lain di negara ini; kadar PSC lain tiada perubahan.

"Kadar baharu PSC akan kenakan bagi tiket yang dikeluarkan bermula 1 Januari tahun depan, manakala tiket yang dikeluarkan sebelum tarikh terbabit tidak akan dikenakan kadar baharu walaupun tarikh penerbangan dijadualkan pada atau selepas 1 Januari 2018," katanya di sini, hari ini.

MAVCOM berkata, walaupun dengan pindaan terbaharu itu kadar PSC di Malaysia kekal antara terendah di dunia.

Katanya, kadar baharu itu adalah hasil penilaian semakan Suruhanjaya pada awal tahun ini dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada penggiat industri.

"Pengumuman ini melengkapkan proses penyamarataan PSC yang dijalankan secara berperingkat di klia2 dengan lapangan terbang Malaysia yang lain," katanya.

888 dibaca
Berita Harian X