Isnin, 8 Januari 2018 | 5:55pm
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak. - Foto Sairien Nafis

Peningkatan ringgit bukti ekonomi kukuh - PM

KUALA LUMPUR: Peningkatan nilai ringgit mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh dan berdaya tahan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, awal tahun 2017, ringgit memulakan dagangan rendah pada paras 4.4900 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan terkini, ringgit mencecah paras tertinggi pada kadar RM3.9980, berbanding dolar AS, melepasi tahap psikologi 4.0 apabila ditutup beberapa hari lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ini sekali gus menjadikan ringgit pada kedudukan terbaik sejak Ogos 2016 dan ia juga muncul mata wang terbaik di rantau ini pada November lalu.

"Bank Dunia melaporkan bahawa 'Ekonomi Malaysia berkembang daripada kedudukan kukuh' dan kita menjangkakan pertumbuhan sihat bagi tahun 2018 dan lebih banyak pengurangan defisit apabila kita terus mengambil segala langkah yang perlu untuk membangunkan negara dan memastikan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan rakyat Malaysia," katanya menerusi blog www.najibrazak.com, hari ini.

162 dibaca
Berita Harian X