Khamis, 11 Januari 2018 | 3:10pm
DATUK Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Yang Dipertua Presiden Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah & Pengurus Harta, Nordin Daharom ketika majlis pelancaran daftar Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta di Hilton Hotel.- Foto Halim Salleh

Daftar Pengurus Harta dilancar

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini melancarkan Daftar Pengurus Harta bagi memastikan amalan pengurusan harta dikawal selia dengan sempurna di negara ini.

Pelancaran yang dinanti-nantikan itu mengikut pindaan Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981 (Akta 242), yang diluluskan pada 17 Oktober 2017 dan diwartakan pada 2 Januari lalu.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Pelancaran itu turut disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebagai tanda usaha sama buat julung kali membabitkan dua kementerian.

Ia bermatlamat bersama di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), ke arah mengawal selia amalan pengurusan harta bagi harta strata di Malaysia.

"Pengurusan strata yang dikawal selia dengan sempurna akan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan keyakinan kepada pelabur," kata Noh.

Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 19,000 skim strata di seluruh negara, membabitkan 7.5 juta penduduk.

127 dibaca
Berita Harian X