Rabu, 14 Februari 2018 | 3:31pm
DR Mohd Afzanizam Abdul Rashid. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Foto hiasan

Ekonomi dijangka terus kukuh pada 2018

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka meneruskan momentum pertumbuhan kukuh pada 2018 selepas mencatatkan pertumbuhan di luar jangka 5.9 peratus bagi keseluruhan 2017.

Ketua Ahli Ekonomi Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat sebanyak 5.9 peratus sememangnya melebihi jangkaan penganalisis ekonomi iaitu 5.8 peratus.

Beliau berkata, dari segi sumber pertumbuhan kedua-dua enjin utama iaitu permintaan domestik serta sektor luaran menjadi tunggak utama dalam menyumbang pertumbuhan ekonomi negara apabila ia berkembang sebanyak 6.2 peratus dan 5.4 peratus.

Secara keseluruhan, katanya, pertumbuhan ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik yang mana ia melebihi corak aliran pertumbuhan iaitu sekitar lima peratus.

"Momentum yang mengukuh ini dijangka akan dapat diteruskan berdasarkan jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih baik, sekali gus memberi manfaat langsung kepada sektor berorientasikan eksport.

"Di samping itu, kestabilan di dalam permintaan domestik dijangka akan dapat membantu dalam menyumbang prestasi pertumbuhan yang lebih mapan pada 2018," katanya kepada BH hari ini bagi mengulas mengenai pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia bagi 2017.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bahagian Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor, berkata prestasi ekonomi bagi suku keempat 2017 adalah lebih baik berbanding jangkaan penganalisa ekonomi.

Beliau berkata, momentum yang baik itu dijangka kekal untuk tahun ini, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang baik dan peningkatan kadar gaji.

"Sektor luar juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ini. Ringgit juga dijangka akan terus mengukuh dibantu oleh sentimen yang baik terhadap keadaan ekonomi semasa," katanya.

Kedua-dua ahli ekonomi itu mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang 5.5 peratus tahun ini.

130 dibaca
Berita Harian X