Rabu, 14 Februari 2018 | 4:34pm

Malaysia perkenal dasar baharu lindung kestabilan ekonomi

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memperkenalkan beberapa dasar baharu berikutan kemunculan risiko baharu daripada kesan limpahan luaran, bagi memelihara kestabilan makroekonomi dan kewangan, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam Buletin Suku Tahunannya yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu berkata kesan limpahan luaran, sama ada yang dijangka ataupun yang tidak dijangka akan terus mempengaruhi ekonomi sedang pesat membangun.

"Keadaan tidak pasti yang berterusan dalam perkembangan dasar, ekonomi, politik dan pasaran kewangan global akan menyebabkan tempoh keadaan tidak menentu meningkat.

"Dalam keadaan sedemikian, adalah penting bagi ekonomi sedang pesat membangun untuk mengenal pasti autonomi mereka dalam melaksanakan dasar bagi menangani pelbagai yang unik dalam persekitaran domestik, selain dasar tidak lagi boleh dikekang oleh prinsip konvensional dalam pembentukannya, namun sebaliknya strategi baharu yang belum diuji perlu dipertimbangkan," katanya.

BNM berkata, Malaysia melaksanakan strategi dasar yang memberikan tumpuan khususnya kepada pembangunan pasaran kewangan termasuk pelbagai langkah berhemah dan 'pembetulan pasaran' yang berani bagi menangani cabaran unik negara.

"Gabungan dasar menerusi beberapa siri langkah yang diperkenalkan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) penting untuk kejayaan Malaysia menguruskan ketidaktentuan pasaran kewangan.

"Hasilnya, keadaan pasaran kewangan domestik bertambah baik dengan ketara," kata BNM.

FMC memperkenalkan beberapa langkah untuk meliberalisasikan pasaran kewangan domestik, termasuk membolehkan akses pasaran yang lebih baik, fleksibiliti perlindungan nilai dan pengenalan instrumen pasaran kewangan baharu.

Apabila tahap kecergasan yang lebih tinggi diperlukan, seperti dalam menangani isu-isu aktiviti spekulasi luar pesisir, FMC memperkukuh peraturan yang menghalang pemudahan kontrak hadapan tanpa serahan.

"Keperluan penukaran eksport juga dilaksanakan untuk menangani ketidakseimbangan dalam pasaran pertukaran asing domestik, namun dengan fleksibiliti yang mencukupi diberikan kepada pengeksport domestik," kata BNM.

Langkah berkenaan membantu mengurangkan turun naik dalam kadar pertukaran ringgit dan tekanan spekulasi berkurangan, kata BNM.

Susulan itu, aliran keluar daripada pelabur bukan pemastautin jangka pendek telah menambah baik komposisi pemegangan bukan pemastautin dalam pasaran kewangan domestik yang menjurus kepada pelabur jangka panjang yang lebih stabil dan mampan.

Keadaan pasaran kewangan domestik yang bertambah baik itu juga adalah selaras dengan prestasi ekonomi Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan, lantas menyokong peningkatan nilai ringgit pada 2017.

Keadaan ini lebih mencerminkan asas ekonomi yang lebih kukuh apabila keadaan pasaran kewangan global bertambah baik.

"Lebih utama, pasaran kewangan domestik yang berfungsi dengan teratur terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia," kata BNM.

95 dibaca
Berita Harian X