Selasa, 13 March 2018 | 2:39pm
PENGURUS Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon (dua dari kiri) hadir pada pelancaran Aplikasi Perjalanan 'Pick A Trip' di sini, hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Visa payWave lonjak transaksi tanpa tunai

KUALA LUMPUR: Visa Malaysia menyasarkan kadar penembusan penggunaan teknologi tanpa sentuh, Visa payWave mencapai sehingga 50 peratus menjelang 2020, sekali gus mewujudkan masyarakat tanpa tunai di negara ini.

Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon, berkata sejak Visa payWave diperkenalkan, lebih 20 peratus pemegang kad menggunakannya bagi menggantikan wang tunai dalam pelbagai transaksi urus niaga.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 30 juta pemegang kad kredit dan debit Visa di seluruh Malaysia.

"Kami menjangkakan kadar penembusan Visa payWave akan meningkat sekurang-kurangnya 30 peratus tahun ini berbanding 20 peratus ketika ini.

"Walaupun jumlah itu masih kecil dibandingkan dengan negara Australia (90 peratus), Singapura (70 peratus) dan Hong Kong (50 peratus), namun kami yakin ia akan terus meningkat dari masa ke masa memandangkan teknologi ini baru saja diperkenalkan di negara ini.

"Selain itu, nilai transaksi yang direkodkan oleh pemegang kad Visa di Malaysia juga sudah mencecah AS$23 bilion (RM91.08 bilion) dan kami menyasarkan pertumbuhan dua angka bagi 2018," katanya pada sidang media selepas pelancaran Aplikasi Perjalanan 'Pick A Trip' di sini, hari ini.

Visa Malaysia bekerjasama dengan Corporate InformationTravel (CIT) Sdn Bhd bagi memperkenalkan aplikasi mudah alih pelancongan eksklusif buat pemegang kad Visa Malaysia yang membolehkan mereka mencari, memilih dan membuat perbandingan harga daripada pelbagai syarikat penerbangan dan hotel di seluruh dunia.

Kong Boon berkata, pelancaran platform mudah alih unik ini bakal memenuhi keperluan pelancong terutama pemegang kad Visa.

"Berdasarkan data VisaNet, perbelanjaan pelancongan melalui e-dagang berkembang lebih pantas berbanding urusan tunai dan telah meningkat sebanyak 10 peratus tahun ke tahun.

"Tempahan pelancongan juga telah berubah daripada kaedah tradisional (panggilan telefon) atau emel kepada ejen pelancongan.

"Dengan adanya Pick A Trip, pemegang kad Visa boleh membuat tempahan untuk tawaran hebat dan pakej istimewa hanya melalui peranti mudah alih," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CIT, Foo Sze Zhaun berkata, pelancong tidak perlu lagi memuat turun pelbagai aplikasi syarikat penerbangan untuk membuat perbandingan harga dan masa kerana Pick A Trip menampilkan pengalaman tempahan berbeza dan lebih mudah.

Pick A Trip boleh dimuat turun daripada Google Play atau App Store.

319 dibaca
Berita Harian X