Selasa, 13 March 2018 | 4:33pm
KETUA Pegawai Eksekutif Invest KL Corporation (Invest KL), Datuk Zainal Amanshah. - Foto Asyraf Hamzah

KL terus pikat pelaburan asing bernilai tinggi

KUALA LUMPUR: Kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi Kuala Lumpur membuktikannya setanding dengan bandar raya utama lain seperti London, New York dan Singapura dari segi menarik pelaburan asing bernilai tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest KL Corporation (Invest KL), Datuk Zainal Amanshah berkata, sebagai bandar raya yang sentiasa pesat membangun, Kuala Lumpur ternyata terus berkembang jauh ke hadapan berbanding negara lain di rantau ini.

Beliau berkata, pencapaian yang dinikmati oleh bandar raya itu adalah atas usaha pihak kerajaan yang memperuntukkan pelaburan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat serta golongan ekspatriat di negara ini.

"Dengan kemakmuran ekonomi dan kemajuan infrastruktur ketika ini, kita turut menjangka lebih banyak pembangunan akan dilaksanakan pada masa akan datang.

"Sebagai contoh, projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura yang akan mewujudkan limpahan ekonomi.

"Perkara ini jelas membuktikan infrastruktur akan terus giat dilaksanakan secara berterusan oleh pihak kerajaan demi kebaikan negara dan rakyat," katanya kepada wartawan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) di luar sesi perbincangan 'Aspirasi Kuala Lumpur yang Selamat' di sini, hari ini.

Greater Kuala Lumpur dengan populasi sehingga 7.25 juta adalah bandar raya pesat membangun yang menawarkan ketersediaan bakat serta profesional dalam pelbagai bidang di samping kecekapan sambungan dan infrastuktur serta kos sara hidup yang kompetitif.

Selain itu, Kuala Lumpur juga sering kali menjadi pilihan bagi pembukaan pusat sehenti global, hab prinsipal dan pusat kecemerlangan, yang mana ia adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk mempromosikan pelaburan berkualiti tinggi.

Zainal berkata, selain memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti pengangkutan awam, antara fokus akhir dalam mewujudkan Kuala Lumpur yang mampan adalah mengenai keselamatan bandar raya.

"Selepas menyediakan kemudahan asas, perkara akhir adalah tumpuan terhadap kategori keselamatan yang akan melengkapi dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang selamat.

"Ia termasuk menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam atau berbasikal kerana kita faham rakyat Malaysia masih memilih untuk memandu kereta ketika ini," katanya.

351 dibaca
Berita Harian X