Isnin, 16 April 2018 | 3:45pm

Syarikat insurans asing tiada alternatif lepas pegangan: BNM

KUALA LUMPUR: Syarikat insurans asing yang menghantar pulang kira-kira RM16.5 bilion antara 2008 hingga 2017 dalam bentuk dividen tetapi tidak memberi sumbangan seperti diharapkan dalam membangunkan industri ini di peringkat tempatan, tidak boleh memilih inisiatif alternatif beserta janji mereka untuk melepaskan pegangan, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Di sebalik kehadiran mereka yang sudah lama di Malaysia, sumbangan syarikat insurans asing dalam pembangunan secara keseluruhan industri insurans tempatan tidak mencapai tahap seperti diharapkan.

Sebagai contoh, hanya peningkatan yang minimum dalam penembusan insurans, ditambah dengan kekurangan produk (terutama untuk segmen golongan berpendapatan rendah) dan tumpuan terhadap model pengagihan kos tinggi, kata BNM dalam satu kenyataan.

"BNM mengalu-alukan sebarang insiatif dari syarikat insurans yang dapat memberikan manfaat kepada ekonomi Malaysia dan masyarakat, sebagaimana diharapkan daripada mana-mana syarikat korporat yang bertanggungjawab yang beroperasi di negara ini," kata BNM.

BNM menyatakan demikian sebagai maklum balas terhadap laporan bahawa syarikat insurans asing akan mewujudkan unit amanah penjagaan kesihatan sebagai alternatif bagi memenuhi komitmen mereka untuk mengurangkan pegangan saham mereka sebanyak 30 peratus sebelum tarikh akhir 30 Jun.

BNM juga menyatakan bahawa ia tidak menerima sebarang cadangan mengenainya.

BNM menekankan bahawa, tahap pegangan saham asing yang telah dipersetujui adalah komitmen yang dinyatakan oleh pemegang saham asing bagi membolehkan lesen untuk beroperasi di negara ini diberikan.

Syarikat insurans asing diberikan lesen untuk beroperasi di pasaran tempatan berasaskan komitmen khusus berkenaan dan jaminan diberikan

"Lesen tidak akan diberikan jika komitmen tidak dilaksanakan. Sejak bertahun, peluang mencukupi dan kelonggaran berikan bagi memenuhi tindakan yang seharusnya diambil oleh pemegang saham dalam melaksanakan komitmen mereka.

"Justeru BNM, sangat mengharapkan pemegang saham menghormati janji yang sangat jelas dinyatakan, dan beroperasi di Malaysia dengan cara yang dapat memberikan manfaat kepada pembangunan pasaran insurans tempatan dan ekonomi secara amnya.

"Ini seharusnya sepadan dengan pulangan ketara yang terakru dalam kalangan syarikat insurans asing daripada pasaran Malaysia.

Pemegang saham syarikat insurans asing sudah mendapat manfaat yang cukup besar daripada kehadiran mereka di pasaran Malaysia," katanya.

BNM menganggarkan bahawa sejumlah RM16.5 bilion atau 70 peratus daripada keseluruhan keuntungan yang diperolehi pemegang saham asing syarikat insurans dihantar pulang sepanjang tempoh 2008 hingga 2017 dalam bentuk dividen.

Sebagai tambahan, syarikat insurans asing menghantar pulang kira-kira RM1.3 bilion dalam bentuk yuran pengurusan dan penyumberan luar kepada rakan sekutu asing antara 2014 hingga 2016.

-BERNAMA

67 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »