Isnin, 16 April 2018 | 7:01pm

Syarikat mula fokus perbelanjaan media sosial

KUALA LUMPUR: Syarikat terkemuka didapati kurang memperuntukkan perbelanjaan kepada kos pemasaran, sebaliknya lebih memfokuskan perbelanjaan menerusi pendekatan media sosial.

Contohnya, Celcom Axiata yang mengurangkan perbelanjaan pada 2016, dengan beralih daripada pemilihan selebriti dari luar negara kepada medium media sosial dengan mengetengahkan nilai Malaysia yang berkait dengan nilai jenama syarikat.

Bagi Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2017, Celcom memaparkan dua filem pendek yang menceritakan keharmonian kaum, seperti yang sering ditekankan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.

Kempen berkenaan dikenali sebagai 'Celcom Merdeka Integrated'.

Pengarah Perancangan Strategik M&C Saatchi (agensi pemasaran bagi Celcom), Chia Mei Yeng berkata filem pendek itu masing-masing berjaya meraih lebih dua juta tontonan, tertinggi pada Ogos tahun lalu.

"Hasil daripada kempen itu juga Celcom mendapatkan bahagian pasaran lebih tinggi dalam nilai jenama pada separuh kedua tahun lalu," katanya.

Memetik kenyataan Kantar NTS menerusi kajian kesihatan jenamanya, Mei Yeng berkata, Celcom sebelum ini kehilangan lima mata dalam bahagian pasaran, di belakang Maxis dan Digi.

"Bagi mengelak prestasinya terus menurun, adalah penting bagi Celcom untuk terus berhubung dengan sasaran pasaran.

"Tidak perlu sebarang usaha keras dilakukan kerana jenama berkenaan sudah sedia dinyatakan dalam video berkenaan. Ia sudah cukup memaparkan nilai rakyat di Malaysia yang termasuk dengan keterangkuman dan perpaduan dan itu adalah cara sebenar untuk kita menggambarkan nilai jenama yang baik," katanya pada 'Celcom Merdeka Integrated' di Appies 2018, di sini, hari ini.

Sebelum ini katanya, Celcom menggunakan selebriti dari luar negara untuk menaikkan jenamanya, dengan memperuntukkan kos tinggi dalam pemasaran, tetapi akhirnya ia memperlihatkan Celcom seperti kehilangan relevan.

Bagi Telekom Malaysia Bhd (TM) pula, syarikat itu menyatukan semua platformnya di bawah satu jenama tanpa perlu berbelanja besar kerana melihat pembabitan pengguna adalah lebih tinggi dari strategi.

Eksekutif Pemasarannya, Eelynn Kong berkata, TM mengubah jenamanya dari jalur lebar Unifi, HyppTV dan webe kepada jenama tunggal dikenali sebagai Unifi, sekali gus menjadikannya sebagai aplikasi mudah alih pertama.

"Bagi menjadi pengguna sebagai sebahagian daripada jenama, penyatuan semua platform kami di bawah satu jenama membantu memudahkan pengguna dan dengan cara ini, Unifi akan lebih menonjol serta lebih dikenali daripada kalangan pengguna," katanya.

Lebih 200 delegasi daripada pelbagai industri menghadiri Appies 2018, yang diadakan dua hari berakhir esok. Turut dibentangkan 44 hasil kajian mengenai pemasaran yang merangkumi enam kategori industri.

93 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »