;
Selasa, 15 Mei 2018 | 3:24pm
ANGGOTA Majlis Penasihat Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ketika menjawab pertanyaan pengamal media selepas mengadakan perjumpaan dengan 150 Pengurus Dana di Sasana Kijang hari ini. - Foto BERNAMA

Ringgit lebih baik selepas keyakinan pelabur pulih - Zeti

KUALA LUMPUR: Ringgit akan mencatatkan prestasi yang lebih baik apabila tahap keyakinan pelabur dipulihkan, kata Anggota Majlis Penasihat Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bagi tujuan itu, beliau yang juga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berkata kerajaan baharu bekerja keras untuk menangani semua perkara yang menjadi perhatian.

"Saya percaya asasnya masih di situ dan apabila keadaan fiskal bertambah baik, ia akan menjadi faktor terakhir yang membolehkan penarafan kita ditingkatkan.

"Semua kategori lain iaitu sistem kewangan, persekitaran ekonomi makro inflasi, kestabilan .. kita sepatutnya sudah memiliki penarafan lebih tinggi oleh agensi penarafan.

"Namun disebabkan oleh isu fiskal yang menjadi penyebab kita masih lagi (mendapat penarafan) A tunggal, apabila kita sepatutnya berpotensi diberikan penarafan AA," katanya dalam satu pertemuan dengan 180 pengurus dana di sini, hari ini.

Zeti berkata, rancangan kerajaan untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak sepatutnya menjejaskan penarafan kredit Malaysia, selagi kedudukan fiskalnya bertambah baik.

"Kedudukan fiskal boleh ditingkatkan bukan hanya di bahagian pendapatan, malah juga bahagian perbelanjaan. Akan terdapat usaha menyemak semula keutamaan projek, meningkatkan kecekapan kerajaan dan mengurangkan pembaziran dalam sektor awam.

"Semua ini akan meningkatkan kedudukan fiskal dan apabila kedudukan fiskal bertambah baik, saya percaya kita akan mendapat penarafan lebih baik," katanya.

1976 dibaca
Berita Harian X